
VOLKSWAGEN TOUAREG BAKAL DITAMATKAN – PENAMAT BAGI ERA SUV PREMIUM JERMAN?
Selepas lebih dua dekad berada di pasaran global, khabar angin terkini mendakwa Volkswagen bakal menamatkan pengeluaran model Touareg menjelang tahun 2026.
Model ini, yang mula diperkenalkan pada tahun 2002 sebagai SUV mewah pertama VW, dilaporkan tidak akan menerima pengganti secara langsung.
Menurut laporan Autocar yang memetik sumber dalaman, Volkswagen kini sedang mengubah haluan strategik dengan memberi tumpuan kepada model-model yang lebih mampu milik dan praktikal, sejajar dengan permintaan pengguna global.
Di Amerika Syarikat, nama Touareg sudah pun lenyap sejak tahun 2017, digantikan oleh SUV tujuh tempat duduk Volkswagen Atlas yang lebih besar dan lebih mesra bajet.

Namun, di pasaran Eropah dan Asia, Touareg masih terus ditawarkan, menjadikan pengumuman ini satu penamat yang signifikan bagi peminat SUV premium berprestasi tinggi dari VW.
Touareg bukan sekadar SUV biasa. Ia lahir daripada kerjasama teknikal antara Volkswagen, Porsche dan Audi, yang turut menghasilkan model terkenal seperti Porsche Cayenne dan Audi Q7.
Ia juga pernah hadir dengan enjin V10 diesel yang luar biasa, sesuatu yang jarang ditawarkan kepada pengguna awam, termasuk di Amerika.
Walaupun tiada perancangan rasmi untuk model pengganti, VW tidak sepenuhnya mengabaikan segmen SUV besar.
Tahun lalu, syarikat itu memperkenalkan Tayron, SUV dengan pilihan konfigurasi dua atau tiga baris tempat duduk sebagai alternatif moden kepada Tiguan dan mungkin juga, sebagai pengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Touareg.
Jika benar Touareg bakal dihentikan, ia menandakan pengakhiran kepada salah satu percubaan VW paling berani dalam dunia kenderaan mewah.
- BACA: GIVI U37N ULTIMO MONOLOCK KINI BOLEH DIDAPATI DI GIVI POINT SELURUH NEGARA – HANYA RM200
- BACA: DENZA D9 – TAMPARAN ELEKTRIK UNTUK ALPHARD & VELLFIRE?
- BACA: LEAPMOTOR HADIR DI 1 UTAMA MELALUI POP-UP STORE EKSKLUSIF CYCLE & CARRIAGE
- BACA: LEAPMOTOR CATAT JUALAN TERTINGGI, TERAJUI PASARAN NEV DI CHINA






