
LEPAS L8. SATU LAGI SUB JENAMA CHERY. MASUK MALAYSIA KE NANTI?
Sebaik sahaja tiba di kampung halaman Chery di Wuhu, China dari Shanghai, kami terus pergi ke majlis Persidangan Perniagaan Antarabangsa Chery 2025 untuk pelancaran sub jenama terbaharu Chery iaitu LEPAS.
Bertemakan “COLORFUL LIFE, MASTERFUL DRIVE” acara itu menyaksikan kehadiran lebih 800 wakil pengedar dan media dari seluruh dunia. Ia sekali gus menandakan langkah strategik Chery untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam segmen SUV elektrifikasi mewah.
Nama “LEPAS” adalah gabungan perkataan “Leopard” (harimau bintang) yang melambangkan kelincahan dan kekuatan serta “Passion” yang mencerminkan semangat dan inovasi.

Jentera LEPAS dibina atas empat tonggak utama iaitu reka bentuk estetik harimau bintang, ruang dalaman mewah, ciri keselamatan pintar dan teknologi super Hybrid Chery System (SHS).
Presiden Chery International, Zhang Guibing mengumumkan bahawa LEPAS bakal melancarkan lima model dalam tempoh tiga tahun akan datang. Pelancaran produk bermula dengan SUV L8 yang akan dilancarkan pada Disember 2025, diikuti oleh model L6 yang menyasarkan pengguna bandar dan L4 yang direka khas untuk pemandu wanita.
LEPAS turut merancang untuk mengembangkan rangkaian jualan global kepada 1,200 outlet dan mencapai jumlah pengeluaran serta jualan tahunan sebanyak 500,000 unit.

LEPAS L8 menampilkan reka bentuk yang diinspirasikan oleh bentuk otot harimau bintang yang sedang berlari. Manakala lampu hadapannya seperti mata haiwan itu yang fokus hendak menerkam mangsa.
Ruang dalaman pula mengambil inspirasi alam sekitar seperti air terjun pada rekaan konsol tengah dan skrin sentuh infohibur yang bersaiz 12.3 inci. Sistem tersebut dikuasakan oleh chip Snapdragon 8155.
Dari segi dimensi, SUV tersebut memiliki panjang 4,688mm, lebar 1,860mm, tinggi 1,695mm dan jarak roda mencecah 2,800mm.
Jentera berkenaan dibangunkan di atas platform elektrifikasi canggih Chery, QPower yang menyokong pelbagai rangkaian kuasa termasuklah enjin pembakaran dalaman (ICE), plug-in hybrid (PHEV), dan kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV).

Model yang mengunakan SHS itu mampu menawarfkan kecekapan thermal sehingga 46 peratus dengan penggunaan bahan api cuma 4.5 liter bagi setiap 100km. Jadi, setangki minyak boleh mencapai jarak lebih 1,300km (WLTP), jimat betul.
Disasarkan kepada golongan elit bandar berpendapatan tinggi, LEPAS L8 memberi penekanan kepada gaya hidup moden dan teknologi canggih.
Dengan pelancaran jenama ini, Chery kini mempunyai enam jenama automotif di bawah naungan mereka, termasuk Chery, Exeed, Omoda, Jaecoo, iCar, dan LEPAS. Setiap jenama ini mempunyai segmentasi pasaran tersendiri, membolehkan Chery memenuhi pelbagai kehendak dan citarasa pelanggan di seluruh dunia.
Persoalannya sekarang, adakah LEPAS akan tiba ke pasaran Malaysia? Jawapannya, kemungkinan besar YA. Sudah bersedia untuk menerima satu lagi jenama dari China?
- BACA: TRAK PIKAP CHERY HIMLA DIDEDAHKAN DI SHANGHAI AUTO SHOW 2025
- BACA: CHERY JALIN KERJASAMA DENGAN DEEPSEEK, TINGKATKAN TEKNOLOGI ROBOT AIMOGA
- BACA: CHERY DEDAH PELAN GLOBAL BAHARU DI AUTO SHANGHAI 2025
- BACA: CHERY LIFE: GAYA HIDUP BAHARU, MOBILITI PINTAR
GALERI







