Buletin

CHEVROLET BOLT EV DIPANGGIL SEMULA, MASALAH TALI PINGGANG KELEDAR MAMPU CETUS KEBAKARAN

Sebanyak 111,242 unit hatchback elektrik Chevrolet Bolt EV dipanggil semula disebabkan risiko kebakaran yang berpunca daripada tali pinggang keledar.

Kedengaran pelik, akan tetapi ia adalah benar berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA).

Menurut laporan tersebut, masalah itu berpunca daripada komponen pretensioner tali pinggang keledar yang mampu mencetuskan kebakaran pada ruang tiang B.

“Dalam situasi kemalangan tertentu, letusan asap yang terhasil daripada komponen pretensioner itu mampu menyalakan gentian pada karpet lantai berhampiran tiang B.

Untuk menyelesaikan masalah itu, pengedar Chevrolet akan memasang kerajang logam pada karpet berhampiran dengan ekzos pretensioner pada model Bolt EV.

Sesetengah kenderaan mungkin perlu dipasangkan dengan pelindung pada komponen tersebut yang dikatakan mampu untuk mengelakkan kebakaran daripada tercetus.

Menurut GM, unit yang terjejas dalam kempen panggil semula ini melibatkan Chevrolet Bolt EV tahun 2017 hingga 2023 yang dihasilkan antara 26 Julai 2016 hingga 25 Oktober 2022.

Awal tahun lalu, Chevrolet Bolt EV dan Bolt EUV tahun 2017-2022 dipanggil semula untuk menggantikan pek bateri yang berisiko terbakar. – Motor1

Google ads
Back to top button