CHEVROLET TRAX 2017
Chevrolet telah mendedahkan model Trax 2017 bersama kemas kini pada bahagian luaran serta tambahan ciri teknologi untuk pasaran Amerika Syarikat.
Model SUV berkenaan akan dipamerkan pada Chicago Motor Show 2016 dan dijangka berada di pasaran hujung tahun ini.
Pada bahagian luaran, kemas kini dilakukan pada bahagian lampu hadapan dan gril. Varian LS akan menerima lampu utama jenis reflektor halogen standard. Sementara versi lebih tinggi iaitu LT atau Premier akan dilengkapi lampu projektor halogen dengan lampu nyalaan siang (DRL).
Perubahan lain termasuk kemasan krom pada lampu kabus, kemas kini pada bampar belakang, lampu belakang baharu dan rim aloi 18 inci.
Bahagian papan pemuka turut menerima proses modifikasi. Kini tersedia skrin sentuh MyLink 7-inci bagi menyokong sistem hiburan Apple CarPlay, Android Auto, 4G LTE dan Wi-Fi hotspot.
Trax Premier pula dilengkapi dengan panel instrumen yang kontras, sesuai dengan kemasan kulit pada bahagian kerusi.
Trax dilengkapi 10 beg udara dan kamera undur sebagai ciri standard. Ciri sistem tambahan lain termasuk Side Blind Zone Alert, Rear Cross Traffic Alert, Forward Collision Alert dan Lane Departure Warning.
Soal mekanikal, model berkenaan dijana enjin 1.4 liter pengecas turbo dengan kuasa 138 bhp dan tork 200Nm. Penghantaran kuasa ke roda diserahkan kepada kotak gear automatik 6-kelajuan.