
TVS ENTORQ 210
Setelah sukses menarik perhatian peminat dua roda melalui TVS Akula 310, TVS kembali menyambung model konsep skuternya menerusi TVS EntorQ 210.
Kehadiran model konsep itu menurut TVS sebagai mengisi segmen skuter touring premium. Ini bermaksud model itu direncana sebagai skuter kelas atas dengan kemampuan menjelajah yang lebih baik.
Malah, TVS menyatakan model itu mudah dikendalikan di dalam bandar dan memiliki keupayaan untuk ditunggang di lebuh raya pada kelajuan tinggi. Dikatakan model berkenaan mampu mencapai kelajuan maksimum 120 km/j.
Walaupun jenama itu berasal dari India, ciri-ciri TVS EntorQ 210 yang ditawarkan cukup impresif. Senarai peralatan terkini antaranya sambungan telefon pintar bersama navigasi GPS dan online, kunci pintar, konsol instrument TFT pelbagai fungsi, push button, start\stop dan ruang simpanan yang luas di bawah pelana.
Tangki minyaknya juga cukup besar dengan kapasiti 8.5 liter. Skuter EntorQ 210 dikuasakan enjin aluminium 212.5cc silinder tunggal penyejukan cecair.
Penghantaran kuasa ke roda belakang ditugaskan kepada sistem transmisi Variomatic.
Berasaskan pada generasi ‘Platform Technology’ masa hadapan, skuter itu dilengkapi casis keluli gred tinggi lebih ringan dan suspensi fork terbalik di hadapan serta monoshock di belakang.
Skuter itu didatangkan dengan rim lebih besar bersama tayar tubeless radial. Bagi menghentikannya, TVS memilih brek cakera bersama ABS.
Sumber: indianautosblog