Motosikal

CIRI-CIRI MENARIK KAWASAKI NINJA 250R 2018 BARU – BUKAN SETAKAT TUKAR KULIT SAHAJA

Kawasaki Ninja 250R yang baru sahaja disahkan pengeluarannya untuk tahun depan merupakan sebuah model yang telah diperbaharui dari segenap aspek dan bukannya sekadar berubah dari segi luaran sahaja. Banyak lagi perubahan lain yang melibatkan casis, enjin, prestasi dan penambahan ciri-ciri baru.

Ia kelihatan setanding bila dibandingkan dengan Honda CBR250RR tetapi jika dibandingkan dengan Ninja 250 sebelum ini, model baru ini kelihatan jauh lebih hebat dan dihasilkan dengan lebih teliti.

Mari kita teliti apakah perubahan yang dilakukan oleh Kawasaki terhadap motosikal suku liter mereka ini.

Jika dilihat dari luaran Ninja 250R ini mempunyai styling ataupun gaya yang sama dengan Ninja 650R baru manakala saiznya pula hampir menyamai Ninja 400. Bahkan ia sebenarnya hanya ringan satu kilogram sahaja berbanding dengan Ninja 400.

Ia cukup penting sebenarnya bagi motosikal kelas 250cc. Ini kerana ia akan memberikan impresi sebuah superbike jika dilihat dari jauh. Hanya bila sampai dekat dan mendengar deruman ekzos barulah ramai yang menyedari yang ia cuma mempunyai 250cc. Itu pun bukan semua orang tahu.

Ninja 250R ini dilengkapkan dengan lampu hadapan dan belakang LED dan winglet ala MotoGP dan sebagai bonus rekaan belakang kini menyamai ZX-10R. Jimat dah duit tak payah nak upgrade lampu kepada LED.

Walaupun nampak besar, Ninja 250R baru ini adalah lebih ringan berbanding model sebelumnya. Ianya hanya 164 kilogram (standard) dan 167 kilogram (ABS) berbanding 172 (standard) dan 174 (ABS) sebelumnya. Ia juga bermakna ia mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik.

Speedometer digital analognya kelihatan sama dengan model 650R lengkap dengan meter perbatuan, posisi gear, trip meter, penunjuk ekonomi, jam digital, suhu cecait pendingin dan macam-macam lagi. Yang tak ada cuma petunjuk harga minyak semasa.

Casis baru

Jika 2 generasi sebelum ini Kawasaki Ninja 250 menggunakan casis jenis diamond ataupun bentuk berlian, generasi ketiga diberikan casis yang berbeza. Walaupun menggunakan material steel tubular yang sama tetapi kali ini enjin itu sendiri digunakan sebagai sokongan kepada casis – Stressed Member Engine.

Casis ataupun kerangka Stressed Member Engine menggunakan enjin itu sendiri sebagai struktur untuk mengukuhkan casis untuk aliran kuasa dan tork yang lebih baik. Ia juga akan mengurangkan berat keseluruhan dan merendahkan pusat graviti.

Ia hampir menyamai casis Ducati Panigale dan dikatakan menggunakan teknologi yang sama seperti digunakan pada Ninja H2. Pengurangan jarak tapak antara roda bermakna motosikal ini kini bertambah lincah berbanding sebelumnya.

Walaupun masih menggunakan suspensi bentuk sama di hadapan dan bukannya versi terbalik (inverted), saiznya kini adalah lebih besar (41mm berbanding 37mm asal). Bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal boleh laras yang sudah terbukti keberkesanannya.

BACA: APRILIA RS250 – JENTERA 250CC 2-LEJANG TERHEBAT DALAM SEJARAH GP DUNIA

Rimnya pula kelihatan seperti disalin daripada Ninja 650R dan cakera-cakera breknya adalah lebih besar berbanding Ninja 250 sebelum ini. 310m di hadapan berbanding dengan 286mm. Saiz cakera belakang 220mm dikekalkan.

Bagaimana dengan prestasi enjin? Jangan bimbang kerana ia juga turut dinaik taraf. Walaupun kelihatan sama enjin ini sebenarnya sudah diubahsuai agar menjadi lebih kompak dan ringan. Kotak udaranya telah diperbesarkan dari 4.7 liter kepada 5 liter dan posisinya juga diubah dari posisi asal untuk pengambilan udara lebih baik.

Udara tersebut kemudiannya disalurkan ke throttle body bersaiz 32mm, lebih besar berbanding 28mm sebelumnya. Kesemua proses naik taraf tadi membuatkan angka kuasanya kini melonjak kepada 38.2 hp dan tork maksima 23.5 Nm menyamai kuasa Honda CBR250RR dan jauh lebih baik berbanding Yamaha R25.

Peningkatan tenaga bermakna kepanasan enjin juga akan bertambah. Jangan bimbang kerana ia kini dilengkapi dengan kipas pendingin yang lebih baik untuk menyejukkan radiatornya. Penting khususnya jika anda menungggangnya di jalan-jalan dalam bandar besar yang selalu berlaku kesesakan lalulintas.

Berbekalkan segala pembaharuan tadi dijangkakan Ninja 250R baru ini akan kembali menaikkan nama Kawasaki dalam segmen suku liter ini.

Google ads
Back to top button