BuletinMotosikal

SUZUKI BAKAL LANCARKAN MOTOSIKAL DENGAN SISTEM TURBO TAHUN HADAPAN

Motosikal dengan enjin induksi paksa (force induction) bukanlah sesuatu yang asing pada masa lalu. Dekad 80-an menyaksikan pengeluar big-four Jepun berlumba menghasilkan inovasi terhadap industri dua roda.

Ketika itu, Yamaha memperkenalkan XJ650 Seca Turbo, kemudian diikuti Suzuki XN85 Turbo, Kawasaki ZX750 Turbo dan Honda CX650 Turbo.

Namun, kecemerlangan teknologi yang dicapai pada 90-an membuktikan bahawa jurutera mampu mereka enjin aspirasi biasa (Normally Aspirated) yang berdaya saing. Lihat sahaja perlumbaan dekad 90-an yang melahirkan perjanjian senyap – gentlement agreement , demi menyekat kegilaan pereka menghasilkan motosikal terpantas di jalanraya 

BACA: KAWASAKI ZX750 YANG MENDAHULUI ZAMAN

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, sistem induksi paksa kelihatan sudah mula mendapat tempat di kalangan pengeluar. Kawasaki memulakannya dengan H2 dan H2R.

Suzuki dikatakan sudah mempatenkan rekabentuk enjin dan sudah mempamerkan konsep motosikal mereka sejak beberapa tahun lepas. 

Laman web dari Switzerland acidmoto baru-baru ini mendakwa mereka mendapat info yang sangat tepat mengenai produksi Suzuki yang akan dikenali dengan model GSX-700T.

Berbeza dengan H2 yang mengemukakan konsep sportbike dengan sistem supercharger, Suzuki menggunakan platform cafe-roadster untuk menampilkan imej pertama mereka.

Ia menggunakan asas motosikal konsep Recursion. Ia dikatakan dijana enjin 700cc XE7 dua selinder dengan turbo pelbagai geometri (variable geometry turbo). Enjin ini juga pernah dipamerkan pada Pameran Tokyo Motor Show 2013 bersama dengan motosikal konsep Suzuki Recursion.

Berkemungkinan besar juga ia akan menggunakan nama Recursion kerana Suzuki telah mendaftarkan nama tersebut di Eropah dan juga Amerika Syarikat.

 

 

 

Google ads
Back to top button