Artikel PilihanBuletin

CIVIC TYPE-R TAK CUKUP POWER? NAH. EKSTRA 58HP DENGAN KIT HONDATA FLASHPRO

Pengeluar kereta Jepun diketahui memang berkebolehan dalam menghasilkan enjin-enjin kecil tetapi power pada dekad 90-an. Namun, tak lama kemudian, mereka nampak macam hilang arah bila kereta-kereta dari Jerman seperti kumpulan Volkswagen, BMW dan Mercedes mula hasilkan kereta-kereta berenjin yang sangat tinggi daya kilas (tork) dan juga kuasa kuda luar biasa.

Salah satu muslihat dalam penghasilan enjin-enjin begini ialah ketepatan komputer yang mengaturcara pembakaran dalaman enjin menjadikannya sangat efisyen dan sangat tepat.

Jepun pernah hasilkan penala hebat menerusi produk seperti HKS (Fcon V Pro) dan juga APEXi (Power FC) namun Mat Salleh lebih hebat dengan hasilkan komputer yang lebih bagus seperti Microtec, Link dan Haltech sebagai contoh.

Bagi peminat Honda pula,  untuk enjin-enjin generasi K (K Series) tidak lagi berkiblatkan Jepun, sebaliknya datang dari Amerika Syarikat. Hondata adalah salah satu pelopor dalam penalaan ECU yang berjaya.

BACA: CIVIC TYPE-R, KERETA FWD TERPANTAS DI NURBURGRING!

Baru-baru ini, syarikat yang berasal dari California itu telah berjaya hasilkan pakej penalaan ECU bypass baru untuk enjin K20C Civic Type R FK8. Menggunakan siri kit FlashPro, ia didatangkan dengan beberapa pemetaan (mapping) untuk mengekstrak lebih kuasa dari enjin 300hp tersebut.

Berdasarkan ujian dyno yang dibekalkan, ECU ini berupaya menambah sehingga 58 kuasa kuda, bergantung kepada jenis bahan bakar yang digunakan.

Memandangkan di Amerika oktana paling rendah ialah RON 91, ia merupakan ujian platform terendah yang menghasilkan ekstra 33 kuasa kuda dan 39 paun tork. Jika menggunakan petrol RON 93, ia hasilkan 47 kuasa kuda dan 72 paun tork.

Paling menarik ialah penggunaan bahanapi Ethanol (E25) yang mampu menghasilkan sehingga 58 kuasa kuda dan 78 paun tork.

Kit FlashPro ini sudah pun bersedia dipasarkan. Harga jualannya ialah USD695 atau RM2,700 dan mengikut laman web Hondata, buat masa ini, ia hanya dipasarkan di Amerika dan Canada sahaja.

Jangan bimbang, tak lama lagi pasti ada pihak ketiga (retailers) yang tawarkannya untuk pasaran seluruh dunia. 

Adakah ia berbaloi?

Sangat. Pelaburan RM2,700 untuk ekstra 30-40 kuasa kuda dan tambah sikit dengan air filter dan sistem ekzos, secara kasarnya, 40-50hp tiada masalah. 

 

 

Google ads
Back to top button