Buletin

REFLASH ECU, HONDATA TINGKATKAN KUASA HONDA CIVIC 1.5 TURBO JADI 196HP DAN TORK 289NM

Firma talaan terkenal jentera Honda, Hondata memberitahu komponen keluarannya mampu meningkatkan kuasa enjin Honda Civic generasi ke-11 dengan hanya perlu melakukan reflash pada unt ECU. 

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa banyak kereta moden dengan enjin turbo mempunyai kuasa tersebunyi di sebalik perisiannya. Ini kerana pengeluar terpaksa memenuhi piawaian emisi dan penjimatan bahan api yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Dalam kes ini, pemprograman semula ECU yang juga dikenali sebagai reflash boleh mendapatkan kuasa tersebut. Itulah yang dilakukan oleh Hondata ke atas Civic. Mereka sudah melakukan perkara sama ke atas Civic berenjin turbo generasi sebelumnya. 

Memandangkan enjin yang digunakan adalah sama, jadi kerja reflash bukanlah susah sangat. Hondata menggunakan model Civic EX dengan enjin turbo 1.5 liter yang telah mencatat perbatuan sejauh 1,609km. Apabila dipadankan dengan bahan api beroktana tinggi, kuasa yang mampu dicatatkan ialah 162hp dan tork 221Nm. 

Selepas ECU diprogramkan semula, Civic berkenaan mampu menghasilkan kuasa mencecah 196hp dan tork 289Nm. Naik sebanyak 34hp dan tork 68Nm berbanding enjin standard. Data tersebut akan digunakan oleh Hondata untuk membangunkan model FlashPro. 

Komponen itu boleh dengan mudah dipasang pada port diagnostik OBD-II. Hondata bagaimanapun belum mengumumkan harga FlashPro.  

Google ads
Back to top button