Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG AMG

Bayangkan anda bekerja dengan satu syarikat besar yang menghasilkan kereta. Anda minat sangat dengan kereta sehingga bos, bos dan bos anda (ya syarikat besar banyak bos untuk dikipas) meminta anda masuk dalam pasukan lumba milik syarikat untuk perlumbaan. Ini cerita berkenaan 2 sahabat baik, Hans Werner Aufrecht dan Erchard Melcher  

Kedua dua mamat nerd ini ditempatkan di bahagian kajian dan pembangunan Daimler Benz, untuk membangunkan sebuah kereta lumba berasaskan Mercedes 300 SE sedan. Kami pun tak pasti mengapa Mercedes teksi ini dipilih oleh bos mereka untuk berlumba walaupun ia ada 170 kuasa kuda. Dinobatkan sebagai sebuah sedan paling pantas untuk jalanan, tapi jadi lauk di litar.

This image has an empty alt attribute; its file name is unnamed-2.jpg

Untuk menjadikan sedan ini lebih berkuasa, Melcher memasang penyuntik petrol dari enjin dari model 300 SL Gullwing jadi ia menghasilkan 238 kuasa kuda. Turbo, euwwwww tak ada turbo tuan. Tapi masalahnya ialah sebelum kereta ini diuji di litar, bos bos Mercedes menutup unit kajian pembangunan dan perlumbaan. Punah la harapan Melcher dan Aufrecht.

Disebabkan zaman tersebut tiada CCTV, maka 2 sahabat tersebut menyeludup keluar enjin tersebut untuk dibawa ke rumah Aufrecht. Bila ada masa lapang, 2 sahabat ini akan membina semula enjin tersebut. Bukan macam korang, ada masa main FB. Enjin tersebut dipasang pada Mercedes SE 300 dan digunakan untuk berlumba dalam German Touring Car Championship.

This image has an empty alt attribute; its file name is AMG.jpg

Pembaca perlu ingat, enjin tersebut diambil secara tidak sah dan mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada Mercedes. Tapi mereka bernasib baik, Mercedes 300 SE talaan mereka memenangi 10 perlumbaan dalam siri GTCC. Setahun kemudian Aufrecht mengambil keputusan untuk berhenti dari Mercedes dan mengajak Melcher menubuhkan satu syarikat baru.

Mereka menamakan syarikat baru mereka Aufrecht, Melcher dan sempena nama pekan di mana rumah Aufrecht berada iaitu Grossaspach. Kami rasa nak cekik je dato bandar ni, susah betul nak sebut. Singkatan nama syarikat mereka ialah AMG. Misi mereka mudah, ambil kereta Mercedes yang biasa digunakan oleh orang tua, jadikannya laju untuk kegunaan litar dan jalanan.

AMG G65 V12 Biturbo

Projek pertama AMG ialah mengubahsuai sebuah lagi sedan Mercedes 300 SEL untuk dijadikan kereta lumba. Ia ibarat menggunakan Toyota Century Royal untuk berlumba namun dengan panjang 5.5 meter dan berat 1.7 tan idea ini nampak seperti merepek walaupun ia dikuasakan dengan enjin V8 6300cc

Tanpa berlengah pasukan AMG membuka semua komponen seperti piston, rocker arm, dan memasang aci sesondol jenis perlumbaan. Mereka membesarkan diameter dan lejang enjin sehingga menjadi 6800cc. Ia menghasilkan 428 kuasa kuda solid. Sekarang tiba masa untuk pengubahsuain yang lain.

This image has an empty alt attribute; its file name is 1992-mercedes-benz-300-ce-6-0-amg-hammer-_0.jpg
AMG Hammer

Panel pintu digantikan dengan kepingan aluminium, gandar tayar dilebarkan, dan perumah tayar dibesarkan. Dari jauh kereta ini kelihatan untuk ketua kumpulan mafia pergi berlumba dan mereka menamakan kereta ini sebagai Red Pig. Mereka menghantar jentera ini ke perlumbaan ujian 24 jam di Belgium 1971. Pada mulanya pihak lawan mentertawakan AMG kerana mereka beranggapan AMG cuba bergurau.

Ada ke patut hantar Limosine lawan Ferrari. Tapi ibarat meludah ke langit, AMG membuktikan mereka bukanlah lawan yang dipandang sebelah mata. Mereka menang dalam kelas yang dipertandingkan dan mendapat nombor 2 dalam kedudukan keseluruhan. AMG membuktikan mereka boleh menang tanpa bantuan majikan lama mereka.

AMG A45

Selepas kemenangan di litar lumba, AMG merupakan nama yang disebut sebut di Eropah sebagai pakar dalam modifikasi. Bukan self claim pakar yang pergi kelas joget – joget tau. Ini memang pakar betul. Pada tahun 1976 AMG memindahkan operasi mereka ke Affalterbach namun unit pembangunan enjin kekal di lokasi lama. Ketika ini Melcher meletakkan jawatan sebagai pengasas namun kekal sebagai pekerja di AMG.

Pada tahun 1986, sekali lagi AMG membuat kejutan dengan membuat modifikasi pada Mercedes SE 300. Enjin 6 silinder asal dibuka dan digantikan dengan enjin V8 dengan saiz 6000cc. Rekaan luar yang berkotak kotak dibuat semula agar aerodinamik kereta bertambah licin. Pecutan 0-100km/j hanya memakan masa 5 saat. 1.8 saat lagi laju dari Lamborghini Countach.

Galant AMG

Tapi disebabkan rekaan SE 300 ini asalnya sebuah sedan mewah, maka ia kekal selesa dan laju. Kalau kuasa enjin terlalu kuat maka rotor brake diameter yang lebih besar digunakan. Rim 5 bilah diwarnakan dengan warna hitam ala – ala mafia. Disebabkan karekternya terlalu antagonis, hanya Darth Vader sahaja yang sesuai menggunakan kereta ini.

Seorang penulis automotif Jerman menggelarkan kereta ini seperti tukul dan gelaran ini kekal sehingga ia digelar AMG Hammer. Halaju maksima AMG Hammer ialah 290km/h. Ia menjadikan supercar dari Itali kelihatan mengarut, walaupun laju ia tidak selesa sangat. AMG Hammer membuktikan kereta mewah boleh dibuat untuk menjadikannya laju.

Terpukul dan malu dengan keupayaan AMG, Mercedes menawarkan satu kontrak kepada AMG yang membolehkan barisan model AMG dijual secara rasmi dalam premis Mercedes di seluruh dunia. Mercedes memegang hak eksklusif tersebut.Ini membolehkan peminat permotoran dunia melihat hasil seni AMG

C43 AMG

Salah satu pihak yang berminat dengan AMG ialah Mitsubishi. Pada tahun 1989 pihak Mitsubishi menjemput AMG bagi menala kereta sedan mereka. Model Galant sedan 4 pintu dengan enjin 2000cc dipilih sebagai perintis projek ini tapi disebabkan ketiadaan enjin V8, enjin 4 silinder biasa pun boleh jadi kata AMG.

Enjin 4G63 telah dinaiktaraf oleh AMG dengan serius. Piston telah digantikan agar nisbah mampatan naik dari 9 kepada 11, dan ia turut dilengkapi dengan teknologi semburan minyak hitam pada piston untuk tujuan penyejukan. Aci sesondol jenis perlumbaan digantikan bersama-sama dengan intake manifold.

Sistem ekzos yang lebih lancar digantikan bersama-sama ECU talaan khas AMG. Hasilnya enjin 4 silinder ini melompat ke 8000 RPM dengan senang, menghasilkan 168 kuasa kuda dan 191Nm tork sebelum disalurkan kepada transmisi 5 kelajuan ratio pendek pada tayar depan. Hanya 500 unit dihasilkan dan dijual sebagai model JDM.

CLK GTR

Sebagai sebahagian perjanjian dengan Mercedes, AMG turut menghasilkan C36 AMG khas untuk bersaing dengan BMW M3. Tapi C36 AMG mengekalkan enjin 6 silinder sama seperti model asal. Apabila merasakan model 6 silinder tidak cukup kuat, AMG menghasilkan C43 dengan enjin V8 4300cc. Enjin ini menghasilkan 302 kuasa kuda dan dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan.

AMG memang sengaja menggunakan konfigurasi enjin V8 dalam model keluaran mereka. Enjin tersebut secara semulajadi adalah sangat harmoni dan stabil. Paling penting semua enjin tersebut dipasang menggunakan tangan dan manual. Pada satu ketika, terdapat 250 orang juruteknik yang memasang enjin V8 AMG dan setiap juruteknik ada satu set peralatan khas untuk mereka

Tapi usah risau, kerana mereka hanya memerlukan sekitar 3 – 4 jam untuk memasang enjin V8 dari A sampai Z. Ia diakhiri dengan setiap juruteknik meletakkan plakad nama mereka pada setiap enjin yang dipasang. Senang nak cari, kalau enjin bermasalah dah tau siapa yang pasang. Menyedari nama AMG sangat sinonim dengan Mercedes, barisan pengarah Mercedes bersetuju untuk membeli pegangan majoriti dalam syer syarikat AMG.

Enjin V12 yang dipasang oleh Michael

Memetrai perjanjian tersebut ialah, mereka mengeluarkan sebuah model halo iaitu CLK GTR dan penulis tidak mahu mengulas panjang berkenaan model tersebut kerana ia telah diulas dengan mendalam oleh Yazid. Buat pertama kali AMG menggunakan enjin V12 6900cc untuk jentera ini. Paling menarik ialah mereka terus membekalkan enjin ini pada Pagani untuk dipasang pada Huayra dan Zonda.

Di AMG hanya ada seorang staf sahaja yang bertanggungjawab memasang enjin V12 ini iaitu Michael Kübler. Michael akan memasang enjin ini dalam kuantiti satu unit sahaja dalam sehari dan dia boleh memasang enjin ini dalam keadaan memejam mata. Tapi, semua kereta sport yang AMG jual. Ada ke kereta biasa-biasa untuk pelanggan umur 40 an yng ada krisis pertengahan umur?

AMG E55

Ada tuan – tuan, AMG menghasilkan sebuah wagon pada tahun 2005 yang nampak sangat skema. Dari jauh kita akan rasakan pemandunya menyikat rambut belah tepi macam Nobita. Tak ada apa-apa yang ganjil pun pasal wagon ni, kecuali tulisan AMG. Wagon AMG E55 ini dilengkapi dengan enjin V8 5400cc yang dipasang dengan tangan. Tak cukup lagi, nah AMG tambah unit kompressor pada enjin ini.

Enjin ini menghasilkan 474 kuasa kuda dan 700Nm tork, cukup kuat untuk sebuah wagon. Bagi anda yang kurang minat dengan wagon, anda boleh intai R63 iaitu sebuah MPV dengan 500 kuasa kuda. Atau jika anda rasakan Ford Ranger Raptor sangat biasa, boleh la cuba G65 iaitu sebuah pacuan empat roda yang dipasang dengan enjin V12 turbo berkembar. Mungkin sesuai untuk taukey balak berlumba masuk dalam hutan.

AMG R63

Untuk anak tokey balak, mereka mungkin boleh mempertimbangkan A45 AMG iaitu sebuah kereta kompak dengan 355 kuasa kuda dan pacuan semua roda. Kalau nak lagi ektrim pun ada iaitu sebuah trak dengan gred kegunaan askar. Pada asalnya pihak tentera darat Australia meminta Mercedes menghasilkan sebuah trak 3 gandar dengan 6 tayar untuk kegunaan tentera bagi menggantikan jentera Unimog.

Tapi jentera tersebut menarik perhatian AMG lalu mereka mula menghasilkan G63 AMG 6X6. Dengan berat sekitar 4000kg, ia dikuasakan dengan enjin 5500cc V8 dengan turbo berkembar bagi menghasilkan 536 kuasa kuda. Kemasan dalaman yang mewah telah dinaiktaraf bagi menggantikan kemasan gred tentera.

AMG G63

G63 ini dipsang dengan tayar bersaiz 37 ini offroad boleh dipandu pada semua permukaan jalan. Kesemua tayar boleh mengubah tekanan angin secara automatik bagi mendapatkan tekanan yang optimum. Dah puas main dengan pikap, AMG bercadang untuk kembali menghasilkan kereta hypercar. Ambil enjin dan transmisi yang dipakai oleh Lewis Hamilton, dan pasang di kereta sport.

Tulis dan cakap memang senang, tapi cabaran kejuruteraan yang dihadapi memang membuatkan pasukan AMG sakit kepala. AMG One dijangka menghasilkan 1000 kuasa kuda termasuk dengan menggunakan sistem hibrid. Bukan itu sahaja, pasukan AMG turut menggunakan transmisi yang sama dalam jentera F1 untuk dipasang pada kereta ini.

AMG One

Itulah segalanya tentang AMG yang memulakan minat yang mendalam terhadap enjin, modifikasi dan jentera lumba. Bermula dengan bengkel kecil yang menggunakan enjin Mercedes mereka muncul dalam liga pasukan modifikasi dan kejuruteraan yang disegani.

Jika anda mahir dalam bidang teknikal, lulusan kejuruteraan dan bos anda hanya berikan tugas untuk membuat kertas kerja cadangan lebih baik anda ikut apa yang Aufrecht dan Melcher lakukan. Ia jauh lebih seronok daripada terpaksa mengipas bos, pengurus, pengurus kanan, pengarah dan semua individu yang tahu mengarah dan tak pandai menghargai anda. Kecuali anda memang kaki kipas.

Google ads
Back to top button