Buletin

CONTINENTAL CIPTA SISTEM BUNYI TANPA PERLU PEMBESAR SUARA 

Firma teknologi terkemuka dunia, Continental baru-baru ini mendedahkan bahawa ia sedang membangunkan sistem bunyi yang tidak memerlukan unit pembesar suara. 

Inovasi itu dilihat dapat membantu mengurangkan berat kenderaan. Sekali gus mampu meningkatkan penjimatan bahan api, mengurangkan emisi dan kereta jadi lebih efisien. Continental didakwa hanya menggunakan permukaan di dalam kabin sebagai sumber janaan bunyi.

Syarikat berpangkalan di Jerman itu telah memasang satu siri penggerak (actuator) yang berfungsi ‘memangkin permukaan sesuai untuk menghasilkan pengalaman bunyi 3D secara semula jadi’. Getaran mikro (microvibration) dipasang pada kemasan bumbung, papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk untuk menjana gelombang bunyi.

Sekali pandang, actuator itu kelihatan seperti pembesar suara dengan magnet dan gegelung. “Setiap permukaan mempunyai elemen akustik tersendiri. Sebagai contoh, tiang A ideal untuk menghasilkan buyi berfrekuansi tinggi dan sederhana. Manakala bumbung pula menjana bunyi berfrekuensi rendah.

“Dengan menggabungkan julat frekuensi yang berbeza ini, kami boleh mendapatkan kualiti bunyi keseluruhan yang bagus,” kata Jurutera Akustik Continental Engineering Services, Jens Friedrich.

BACA: PANDU UJI – TAYAR CONTINENTAL ULTRACONTACT UC6 & CC6 DI CHINA

Walaupun kedengaran seperti mustahil, Continental mendakwa kualiti bunyi yang dihasilkan oleh sistem Ac2ated Sound itu adalah lebih baik berbanding sistem audio konvensional. Ia juga sangat ringan, cuma 1kg berbanding 15kg sistem bunyi biasa.

Masih di peringkat awal, sistem Ac2ated Sound Continental ini memerlukan sedikit masa lagi untuk diperhalusi. Namun, ia memang satu perkembangan positif kerana ia membolehkan reka bentuk dalaman kenderaan menjadi lebih kemas tanpa diganggu oleh unit pembesar suara.

Google ads
Back to top button