AUDI SERTAI F1 2026, GABUNG DENGAN PASUKAN SAUBER
Pengeluar automotif Audi sebelum ini mengumumkan keputusan untuk menyertai sukan berprestij Formula One bermula musim 2026.
Menerusi perjanjian yang termeterai, Audi bersetuju untuk membekalkan unit enjin kepada pasukan Sauber bermula musim 2026 dan seterusnya.
Harus diingatkan, pada tahun yang sama juga bermulanya set undang-undang baharu di mana setiap pasukan akan mula menggunakan bahan api sintetik di dalam enjin jentera lumba mereka.
Pada ketika ini, jentera F1 berlumba menggunakan hanya 10 peratus bahan api yang boleh diperbaharui.
Selain daripada penggunaan bahan api sintetik, regulasi F1 musim 2026 memerlukan setiap pasukan meningkatkan kuasa bantuan elektrik sebanyak 50 peratus berbanding apa yang digunakan pada masa ini.
Enjin F1 Audi akan dibina di fasiliti Neuburg an der Donau, daerah Neuburg-Schrobenhausen sementara pihak Sauber pula akan membangunkan jentera lumba mereka di fasiliti Hinwil, Switzerland.
Pada ketika ini, pasukan Sauber dikenali dengan nama Alfa Romeo Racing yang telah digunakan sejak tahun 2019, dan penggunaan nama itu dijangka berubah menjelang musim 2024 dan 2025.