Buletin

CUBA RENTAS NEGERI BALIK BERAYA, 17 INDIVIDU DIKOMPAUN RM1,000 SEORANG

Cubaan 17 individu pulang ke kampung dengan merentas negeri tanpa surat kebenaran ternyata sia-sia apabila mereka dikompaun RM1,000 sebaik tiba di sekatan pemeriksaan polis di dua susur keluar Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pemandu yang tidak mempunyai surat kebenaran dan gagal memberi sebarang alasan munasabah.

Beliau berkata, semua kenderaan terbabit diarahkan berpatah balik ke tempat asal dan tidak dibenarkan masuk ke Alor Setar bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Anggota kita yang dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan memeriksa surat kebenaran dengan teliti bagi mengelakkan ada yang cuba curi peluang balik.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, 17 individu dikenakan kompaun dan diarah berpatah balik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, walaupun sudah beberapa kali dimaklumkan bahawa merentas negeri tanpa kebenaran adalah kesalahan namun masih ada yang cuba melakukannya dengan harapan boleh lepas pulang ke kampung.

Biarpun syarat pergerakan sudah dilonggarkan berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga empat, namun ia bukan bermakna orang ramai boleh bergerak sesuka hati.

“Ini kerana pasukan pemantau kita sentiasa melakukan rondaan memastikan orang ramai tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Malah individu yang berhimpun atau mengadakan jamuan Aidilfitri termasuk mengambil gambar di kawasan awam dengan jumlah yang ramai juga tidak dibenarkan,” katanya.

Pasukan pemantau turut mengesan gelagat remaja yang sengaja duduk di taman rekreasi dan di tepi pantai hanya untuk suka-suka.

Menurutnya, sekarang bukan masanya untuk orang ramai beriadah di tempat terbuka kerana semua pihak perlu bekerjasama memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Sekiranya ditangkap, kompaun RM1,000 seorang akan dikenakan mengikut Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Hentikan amalan kunjung-mengunjung dan mengadakan jamuan hari raya ketika ini kerana kita tidak tahu siapa dalam kalangan kita yang membawa virus Covid-19 ini,” tegasnya lagi – Harian Metro

Tags
Google ads
Back to top button