
HONDA CROSSTOUR – GABUNGAN WAGON / CROSSOVER
Apabila menyebut tentang Crossover, kita sering terbayang tentang beberapa model comel dan kompak yang telah ditinggikan sedikit penampilannya. Tidak sesekali terlintas dalam fikiran kita Crossover selain daripada itu. Tapi Honda bertindak di luar kotak pemikiran, apabila memperkenalkan Honda Crosstour, sebuah Wagon dengan penampilan Crossover. Pelik tapi benar.
Di awal kemunculan model ini pada tahun 2010, ianya menggunakan nama Honda Accord Crosstour sehinggalah Honda memutuskan untuk hanya menggunapakai Crosstour sahaja bermula tahun 2012 terhadap model yang kelihatan sangat panjang dan besar ini. Melihatkan saiznya sahaja kita boleh mengagak bahawa Honda Crosstour ini bukanlah untuk pasaran Jepun.

Malah pembuatannya juga tidak dilakukan di Jepun. Sebaliknya model ini khusus untuk pasaran Amerika Syarikat dengan kilang pemasangannya terletak di East Liberty, Ohio. Oh ya, kilang pembuatannya turut terdapat di Guangzhou khusus untuk pasaran China.
Secara keseluruhannya rekaan Honda Crosstour ini hampir benar menyerupai sebuah Honda Accord versi Wagon. Tiada langsung body cladding untuk merubah penampilan yang lebih rugged. Mujur juga ketinggian yang ditambah berjaya merubah sedikit penampilannya kepada sebuah model Crossover.

Honda Crosstour ini didatangkan dengan dua varian, EX dan EX-L. Untuk varian EX-L sebenarnya turut didatangkan dengan pacuan empat roda. Pakai 4WD ini entah bila masa nak meredah lalun berliku pun entahlah. Setakat panjat divider tu, gamaklah kot nak perlakukan model mahal sebegini, iya tak?
Enjin bersesaran 3.5 liter i-VTEC V6 merupakan pilihan yang paling ideal untuk menggerakkan tubuh Crossover yang besar dan panjang ini. Bolehlah nak dapat kuasa maksimum 271 hp yang mana ianya disalurkan melalui kotak gear auto lima kelajuan.

Sebenarnya kelebihan yang ada pada model sebegini sudah tentulah ruang bagasinya yang cukup luas. Malah, ianya turut mempunyai ruang tersorok di bahagian bawah bagi memaksimumkan ruang penyimpanan. Selain itu, model ini turut didatangkan dengan beberapa ciri menarik seperti bumbung suria, kawalan pemanduan, sistem navigasi serta kamera undur. Untuk model tahun keluaran 2012, penambahan ciri seperti itu sudah dikira cukup mewah.
Walaupun kelihatan gah, namun sebenarnya rekod jualannya di Amerika Syarikat tidaklah begitu memberangsangkan. Pada penghujung tahun 2015, produksi Honda Crosstour telah ditamatkan dengan ketiadaan pengganti untuk generasi seterusnya.
BACA : PADA 2000 HONDA ACCORD WAGON SIR 4WD DIPERKENAL DI JEPUN