BuletinMotosikal

CUBPRIX 2018, TELUK INTAN. HELMI AZAM JULANG HONDA KE PODIUM

Mohd Helmi Azman berazam untuk menyekat menjulang Honda dan menyekat dominasi Yamaha daripada terus menguasai keseluruhan pentas podium saingan kelas CP150 pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing itu mencipta kejutan apabila berjaya mengungguli sesi Superpole pada pusingan lepas di Temerloh sekaligus muncul pelumba Honda pertama melakukannya selepas kali terakhir dicatat oleh Mohd Zaqhwan Zaidi sewaktu perlumbaan pertama kategori CP150 diperkenalkan pada Mac 2017.

Namun malangnya permulaan yang tidak begitu baik sekadar menyaksikan Helmi sedikit ketinggalan dan menamatkan perlumbaan akhir di tempat keempat yang juga merupakan pencapaian terbaiknya pada musim ini.

Helmi yang beralih ke jentera Honda pada musim ini terus mempamer aksi konsisten dengan berada di kelompok enam pelumba terbaik sepanjang tiga pusingan lepas dan kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 34 mata.

“Apa yang ditunjukkan sewaktu di Temerloh menunjukkan kami berada di landasan tepat ketika ini. Mungkin faktor litar juga banyak membantu jentera kami mencapai tahap optimum, namun saya harap prestasi tersebut dapat dikekalkan di Teluk Intan.

“Matlamat saya adalah untuk cuba mencari tempat di atas podium yang pertama buat pasukan dan Honda serta menyekat dominasi pelumba-pelumba dari pasukan yang menggunakan jentera Yamaha,” jelas Helmi yang juga merupakan pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Google ads
Back to top button