Buletin

CZINGER 21C KERETA HIPER 1233 BHP! ENJIN 2.88L V8 DAN SISTEM ELEKTRIK

Persaingan kereta hiper sekarang ini memang hebat. Sama ada dari pengeluar ternama atau yang baharu ditubuhkan.

Kuasa yang dihamburkan pula luar biasa sama ada 100 peratus elektrik atau enjin pembakaran dengan motor elektrik.

Satu daripada pengeluar dengan kereta hiper luar biasa ialah Czinger yang diasaskan oleh Kevic Czinger pada tahun 2019 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Turut sama menjadi pengasas ialah anaknya Lucas dan memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Operasi.

Produk syarikat ialah kereta hiper Czinger 21C yang berkuasa 1233 bhp!

Angka luar biasa itu dihamburkan oleh gabungan enjin petrol 2.88 liter V8 turbo berkembar dengan sistem elektrik 800 volt.

Enjin itu dipadan bersama transmisi tujuh kelajuan sequential dengan cekap pelbagai plat yang diaktuasi electro-hydraulic.

Bukan lagi kereta konsep, Czinger 21C akan membuat penampilan awam pertama di United Kingdom pada 15 Jun di Savile Row, London.

Penampilan tersebut dibuat dengan kerjasama H.R. Owen yang merupakan pengedar eksklusif Czinger di UK.

Dengan kuasa luar biasa berapa hebat pula prestasi Czinger 21C?

Pecutan 0-100 km/j hanya perlukan 1.9 saat dan 0-299 km/j pula 8.5 saat! Kelajuan maksimum pula katanya tidak mustahil untuk mencecah 407 km/j!

Berat tanpa muatan (curb weight) hanya 1250 kilogram dan boleh dibayangkan pecutan kereta hiper ini.

Cara buatan kereta 21C juga menarik. Proses pembuatannya menggunakan reka bentuk manusia-AI (kecerdasan buatan) yang dipatenkan oleh Czinger.

Kaedah itu dibuat bagi memastikan setiap komponen kereta dioptimumkan untuk prestasi, berat dan pakej keseluruhan.

Sebagai contoh, lengan kawalan atas (control arm) dibuat berongga (hollow) dengan struktur dalaman dihasilkan melalui cetakan 3D supaya ringan dan tidak menjejaskan prestasi.

Dengan kuasa luar biasa dan nisbah kepada berat, 21C telah berjaya mencatatkan rekod kereta produksi di Litar Laguna Sena dengan masa dua saat lebih pantas berbanding McLaren Senna.

Di Circuit of Americas (COTA), 21C juga mencatatkan rekod baharu dan mengalahkan McLaren P1 dengan masa enam saat lebih pantas.

Seperti biasa, kereta sebegini tidak banyak dihasilkan dan penawaran Czinger 21C dihadkan kepada 80 buah sahaja.

Ada dua spesifikasi yang ditawarkan iaitu daya mendap dan ringan atau seretan rendah untuk kelajuan maksimum.

Bagaimana dengan harga? Bermula dari USD2,000,000 dan penghantaran kepada pelanggan dijadual pada tahun 2023.

Google ads
Back to top button