
IBARAT JET PEJUANG DALAM DUNIA LAYANG-LAYANG – PERUMPAMAAN LOTUS EVIJA
Setelah sekian lama bermain dengan Elise, Exige dan Evora, Lotus akhirnya melangkah ke dunia kereta hiper setara dengan jenama eksotik lain.
Lotus Evija adalah manifestasi kereta hiper elektrik yang membawa legasi dan falsafah Lotus.
Dengan Evija, Lotus tidak menjadi pengeluar lain, Lotus kekal Lotus dengan identiti tersendiri sejak sekian lama.
Apa yang dimaksudkan ialah Evija tidak membawa pengaruh eksotik Itali atau reka bentuk agresif. Evija adalah sebuah Lotus yang sarat dengan ciri aerodinamik.
Bercerita tentang Evija tidak lengkap setakat hanya membaca laporan rasmi media.
Untuk mengenali Evija dengan lebih mendalam, kami bawakan salinan temuramah dengan Richard Hill yang merupakan Ketua Jurutera Aerodinamik dan Pengurusan Thermal.
Beliau telah berkhidmat bersama Lotus sejak 1986 dan terlibat dalam pelbagai projek kereta jalanan dan lumba.
Ada satu perumpamaan yang menarik perhatian apabila beliau ditanya mengenai perbezaan di antara Evija dan kereta sport biasa lain. Jawab beliau:
“Ia umpama membandingkan jet pejuang dengan layang-layang kanak.”
Jawapan yang padu dan menggambarkan kehebatan Evija. Berikut ialah soalan dan jawapan (Q&A) dengan Richard Hill:
Apakah falsafah keseluruhan di sebalik ciri aerodinamik Evija?
Ianya tentang mengekalkan kadar aliran angin (airflow) yang rendah dan sekata (flat) pada bahagian depan dan mengalirkannya melalui badan kereta dan bertemu di bahagian belakang.
Secara ringkasnya, ia menukar keseluruhan kereta kepada sayap terbalik (inverted wing) bagi menghasilkan daya mendapan (downforce) dinamik yang penting.
Bagaimana anda membandingkan prestasi aerodinamik Evija dengan kereta sport biasa?
Ianya seperti membandingkan jet pejuang dengan layang-layang kanak-kanak.
Boleh anda terangkan mengenai liang pada Evija dalam terma aerodinamik?
Kebanyakan kereta perlu ‘menebuk lubang’ di dalam udara (atau merempuh) bagi melepasi daya kasar (brute force) tetapi Evija berbeza karakter disebabkan liang badan kereta.
Evija secara amnya bernafas di dalam udara.
Bahagian depan berfungsi ibarat mulut yang menghadam udara dengan menyedut seberapa banyak udara (atau daya mendap) dan kemudian menghembus di bahagian belakang melalui rekaan atau liang yang dramatik.
Apakah peranan dimainkan splitter depan yang dalam pada Evija?
Ianya direka mengikut tiga bahagian dengan ruang tengah yang besar berfungsi untuk menyejukkan pek bateri di belakang dua kerusi. Udara yang dialirkan dari dua bahagian sisi menyejukkan e-axle depan.
Splitter pula mengurangkan jumlah udara yang dibenarkan melalui bahagian bawah kereta seterusnya mengurangkan daya seretan dan angkatan (drag and lift) badan kereta.
Ianya juga memberikan perbezaan tekanan di antara splitter atas dan bawah supaya menekan kereta ke bawah dan menghasilkan daya mendapan.
Adakah terowong Venturi (berbentuk jam pasir/kecil di tengah) pada belakang Evija sebahagian dari pakej keliangan (porosity)?
Iya, terowong itu bertindak untuk memotong seretan. Tanpa terowong Venturi, Evija menjadi seperti payung terjun dan dengan terowong itu, kereta menjadi seperti jaring rama-rama (angin bebas lepas) dan menjadikannya sebuah model unik di dalam dunia kereta hiper.
Apakah kesan daripada komponen aerodinamik aktif pada Evija?
Sayap (spoiler) belakang menaik ke atas dari posisinya yang sekata pada bahagian atas badan kereta.
Ia diaktifkan untuk menghasilkan lebih banyak daya mendap pada bahagian roda belakang. Evija juga mempunyai Drag Reduction System (DRS) ala kereta F1 yang dipasang pada bahagian tengah atas kereta.
Fungsi komponen itu dapat menjadikan kereta lebih laju.
Eviva dibangunkan untuk menjadik kereta hiper EV paling ringan di dunia. Adakah berat kereta mempengaruhi prestasi aerodinamik?
Berat tidak mempunyai kesan kepada keseluruhan aerodinamik kereta. Bagaimanapun, lebih ringan kereta, lebih banyak peratusan cengkaman keseluruhan dicapai melalui daya mendap.
Ia juga turut mengurangkan daya inersia (tidak spontan) kereta untuk menukar laluan.
Richard Hill individu handal!
Richard Hill sememangnya seorang yang pakar dan mempunyai pengalaman luas. Selain terlibat dalam kereta massa dan lumba, beliau juga adalah individu di sebalik Lotus Type 108 dan Type 110.
Dua model itu adalah basikal lumba yang digunakan legenda basikal Olimpik British dan Tour de France, Chris Boardman pada era 90an.
Richard Hill juga terlibat dalam pembangunan basikal trek oleh Lotus untuk atlit Kayuhan British yang akan bertanding di dalam Olimpik Tokyo 2020.
- BACA: LOTUS EVIJA, KERETA HIPER EV BERHARGA RM8.7 JUTA!
- BACA: PADA 2004 VAUXHALL VXR220 DIPERKENAL, ‘SEPUPU’ LOTUS ELISE
- BACA: INI SPESIS TERANCAM – FORD LOTUS CORTINA 1966, CUBA TEKA BERAPA HARGA?