
DATSUN GO-CROSS CONCEPT
Datsun buat pertama kalinya memperkenalkan Datsun GO-cross Concept pada acara Delhi Auto Expo 2016.
Jentera konsep crossover ini merupakan visi jenama tersebut terhadap model Datsun GO/GO+. Ia bermatlamat untuk bersaing dalam pasaran crossover yang terus pesat berkembang.
“Walaupun ia hanya sebuah model konsep sekarang, Datsun GO-Cross Concept direka untuk memenuhi keperluan pemandu generasi baru,” kata Pengarah Eksekutif Reka Bentuk Datsun, Koji Nagano.
Pada acara sama, Datsun ada mempamerkan versi Datsun GO dan Datsun GO+ yang dilengkapi pelbagai aksesori. Tidak ketinggalan, kereta rali Datsun Bluebird 1600 SSS (510) yang pernah berlumba di Amerika Syarikat dan bertanggungjawab mengharumkan nama Datsun dalam arena sukan bermotor pada tahun 1970-an.
Datsun juga menampilkan jentera Datsun GO-Rally yang dihasilkan oleh pasukan reka bentuk dan jurutera dari Jepun. Kereta itu dibina berdasarkan kepada sejarah Datsun dalam sukan bermotor.