DHL EXPRESS PERKENAL 6 VAN ELEKTRIK. JIMAT 48% KOS MINYAK DAN KURANGKAN 33% EMISI CO2 SETAHUN
DHL Express hari ini memperkenalkan enam van elektrik di Malaysia yang akan membuat penghantaran di Lembah Klang. Penambahan ini menandakan syarikat tersebut sebagai penyedia logistik yang pertama di negara untuk beralih ke kenderaan elektrik komersial.
Van-van baharu itu ditugaskan ke kawasan Kuala Lumpur dan Selangor bermula awal Oktober. DHL akan menambah 55 van lagi pada tahun depan untuk menjadikan jumlah keseluruhan 61 van di seluruh negara menjelang 2023.
“Kecekapan, inovasi, dan kemampanan operasi logistik merupakan keutamaan kami .Selain menambah baik keupayaan perkhidmatan kami untuk memenuhi permintaan pelanggan yang berkembang pesat, kami juga sedar akan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan berusaha ke arah operasi lebih bersih.
“Van penghantaran elektrik mewakili masa depan rangkaian hijau sedunia kami dan memacu sasaran neutral iklim kami,” kata Naib Presiden Eksekutif, Operasi dan Penerbangan Rangkaian, DHL Express Asia Pasifik, Sean Wall.
Van elektrik CAM EC35 mempunyai ruang kargo 4.8 meter persegi dan mampu mengangkut muatan sehingga satu tan, sama seperti van konvensional yang digantinya.
Ia memerlukan lapan jam untuk dicas penuh dengan jarak mencecah 266 kilometer. tem[oh mengecaj boleh dikurangkan kepada 2.5 jam dengan pengecasan pantas DC (sehingga 40kW).
Sistem brek ABS dan pengagihan kuasa brek elektronik (EBD) merupakan antara ciri standard bagi meningkatkan keselamatan dan pengalaman menghantar kurier.
DHL turut membangunkan infrastruktur untuk menyokong pelancaran ini. Titik-titik pengecasan pintar di pusat khidmat direka bentuk khas untuk menampung lebih banyak van elektrik pada masa akan datang.
Melalui penggunaan CAM EC35, DHL akan menjimatkan kos bahan api sebanyak 48 peratus dan pengurangan 33 peratus dalam pelepasan CO2 setiap tahun.
“Di DHL Express, pelaburan kami sentiasa bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon. Kemajuan dalam teknologi kenderaan elektrik memainkan peranan yang penting dan menyumbang kepada misi kami untuk mencapai sifar pelepasan CO2 menjelang 2050.
“Pelancaran hari ini merupakan satu langkah penting dalam perjalanan penyahkarbonan kami dan satu langkah ke hadapan bagi menjayakan logistik bersih,” kata Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.
Inisiatif ini membentuk sebahagian daripada sasaran sedunia Deutsche Post DHL Group untuk mengelektrifikasikan 60 peratus kenderaan penghantarannya menjelang 2030.
Sekali gus mengukuhkan portfolio logistik EV dan menyokong pelan hala tuju kemampanannya. DHL Express dijangkakan memiliki lebih 1,000 kenderaan elektrik di Asia Pasifik menjelang 2024.
Peralihan ke van eletrik juga selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang menekankan kepentingan kenderaan cekap tenaga terhadap komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
GALERI