Buletin

YOUTUBER BUAT UJIAN PELANGGARAN UNTUK LIHAT KEBERKESANAN CIRI CRASH DETECTION PADA IPHONE 14

‘Apple Car’ yang ditunggu tak berkunjung tiba, sebaliknya Apple melancarkan iPhone 14 baharu. Ketika ramai orang mengadu bahawa reka bentuk model iPhone 14 serupa seperti model sebelumnya tetapi ia didatangkan dengan satu ciri khas begitu menarik.

Apple menyatakan bahawa iPhone 14 menggunakan GPS dan mempunyai fungsi pengesan kemalangan (Crash Detection). Ciri Crash Detection berperanan mengenal pasti sekiranya pengguna terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ia kemudian akan menghantar notifikasi kepada senarai panggilan kecemasan jika pengguna tidak memberikan respons kepada arahan skrin dalam masa 10 saat.

Persoalannya adalah adakah ia benar-benar berfungsi dengan baik? Apple menyatakan bahawa ciri pengesanan tersebut tidak akan diaktifkan dengan hanya menjatuhkan iPhone 14 ke tanah atau membuangnya.

Jadi, seorang Youtuber yang menggunakan nama akaun ‘TechRax’ telah membuat ujian kemalangan untuk mengetahui sama ada ciri tersebut dapat berfungsi dengan baik atau sebaliknya. Dia menggunakan sebuah Mercury Grand Marquis buatan tahun 1990-an tanpa pemandu, sebelum melanggarnya dengan kereta buruk yang lain.

Setelah meletakkan iPhone 14 ke dalam kereta tersebut, TechRax menggunakan tali untuk menyambungkan motor papan selaju elektrik tanpa wayar ke pendikit Mercury supaya mereka boleh menggerakkan sedan tersebut dari jauh.

TechRax berjaya membuatkan Mercury itu berlanggar sebanyak dua kali. Pada pelanggaran kedua, terdapat arahan skrin menyatakan pengguna mengalami kemalangan.

Hasil ujian dilakukan oleh TechRax bukan sahaja membuktikan ciri tersebut berfungsi, malah dapat membezakan kemalangan yang teruk atau sekadar pelanggaran kecil. Ini kerana ujian pertama hanya melibatkan pelanggaran kecil. Hasilnya, ciri itu tidak boleh mengesan pelanggaran tersebut.

Google ads
Back to top button