
DIESEL NAIK HARGA. ENJIN TURBODIESEL MAHAL DAN AKAN PUPUS?
Pengenalan harga diesel tanpa subsidi telah menyebabkan kereta, trak pikap ataupun SUV yang dikuasakan dengan enjin diesel dilihat kurang menarik oleh pengguna di sini. Bayangkan harga seliter diesel telah meningkat naik sebanyak 55% menjadikan harga diesel adalah 3.35 bagi diesel B10.
Bagi diesel B7 yang dirumus khas bagi kereta atau SUV yang menggunakan enjin diesel moden, harganya telah mencecah naik sehingga RM 3.55 per liter. Tetapi jika dibandingkan dengan dengan enjin petrol, diesel masih lagi ada beberapa kebaikan berbanding dengan petrol
Operasi diesel menggunakan nisbah mampatan yang lebih tinggi, kaedah dan pembakaran yang leboh menyeluruh dan pantas (flame propagation), digandingkan dengan sistem turbo moden, suntikan bahan api yang bertekanan tinggi dan kecekapan haba yang baik menjadikan enjin turbodiesel moden adalah lebih baik daripada enjin petrol
Malah seliter diesel juga mengandungi ketumpatan tenaga yang lebih tinggi berbanding dengan seliter petrol, sekitar 10,000Wh berbanding dengan petrol sekitar 9100Wh. Jika digunakan dengan betul, enjin diesel sebenarnya lebih cekap tenaga berbanding dengan enjin petrol
Kami senaraikan beberapa buah kenderaan yang menggunakan enjin diesel moden, dipandu di lebuh raya pada halaju malar dan penggunaan diesel direkodkan selepas pemanduan. Antaranya ialah:
1. Kia Grand Carnival 2.2 Turbodiesel 8 tempat duduk – mencatatkan bacaan penggunaan bahan api pada kadar 25.5km/liter. Angka yang sangat mengagumkan bagi sebuah MPV besar seberat 2129kg. Malah dengan halaju tidak melebihi 120km/jam, angka ini dicatatkan dengan mudah sekali dengan menggunakan diesel B7
2. Toyota Hilux GR Sport 2.8 Turbodiesel – trak pikap bukanlah kenderaan yang efisyen jika dibandingkan dengan kereta sedan. Ia direka dengan tinggi, tidak menawarkan aerodinamik yang bagus dan dipadakan dengan enjin 2800cc.
Toyota memberikan bacaan 12km/liter jika dipandu berhemah dan penulis berjaya mencatatkan bacaan 11km/liter dengan pemanduan agresif dengan menggunakan diesel B10 biasa
3. Kia Sorento 2.2 Turbodiesel – selama dipandu uji selama 5 hari dan dipandu melebihi 1000km, penulis tidak pernah sekalipun mengisi semula tangki bahan api SUV ini. Dengan pemanduan agresif melebihi 140km/jam, penulis masih berjaya mencatatkan bacaan penggunaan bahan api mencapai 13km/liter
Angka ini boleh dipuji memandangkan varian ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda yang lebih kompleks dan dipasang dengan rim 19 inci serta berat mencecah 1856kg
4. Hyundai Santa Fe 2.2 CRDi Executive 7 Tempat Duduk – berbeza dengan enjin Kia Sorento dan Kia Grand Carnival yang menggunakan enjin turbodiesel SmartStream yang baru, enjin Santa Fe ini menggunakan enjin yang dihasilkan daripada blok cast iron biasa
Tetapi SUV besar 7 tempat duduk yang menggunakan diesel B7 ini masih berupaya mencatatkan bacaan bahan api sekitar 15km/liter. Sangat bagus bagi SUV yang berat dan menggunakan sistem pacuan semua roda
Jenama Mazda turut menawarkan pilihan enjin turbodiesel yang menjana sehingga 188 kuasa kuda dan 450Nm tork. Enjin ini dipasang pada SUV Mazda CX-8 2.2 dan juga CX-5 2.2. Bagi CX-8 purata penggunaan bahan api adalah sekitar 15.4km/liter.
Berdasarkan pengamatan penulis, enjin diesel akan tetap ditawarkan pada kebanyakan SUV ataupun MPV yang besar dan berat kerana kelebihan enjin diesel ialah penawaran tork yang tinggi pada RPM yang rendah. Apabila dipadankan dengan transmisi automatik 6 atau 8 kelajuan, penjimatan bahan api adalah sangat bagus
Walaupun harga diesel telah melonjak naik dan mengurangkan kelebihan dari segi kos, anda jangan cepat bertepuk tangan dan mengatakan enjin petrol lebih jimat kerana subsidi petrol RON95 pasti akan ditarik pada masa terdekat.