
KIA SORENTO 2.2 TURBODIESEL, ADA POWER ADA GAYA
Kia Sorento merupakan SUV yang berada dalam segmen D dengan penawaran 6 atau 7 tempat duduk. Bagi semua varian AWD, ia hanya ditawarkan dalam 6 tempat duduk sahaja. Kami telah menguji Kia Sorento generasi ke 4 ini bagi varian 2.5 pertrol AWD dan kali ini kami uji pula bagi varian paling berkuasa iaitu 2.2 turbodiesel
Kalau lihat dari segi nama, Sorento merupakan salah satu pantai peranginan yang menarik di Itali iaitu satu tradisi pada Kia untuk menamakan kenderaan mereka bersempana nama tempat. Bagi Kia Sorento pula, walaupun Kia adalah asalnya jenama dari Korea namun ia diilhamkan dan dihasilkan untuk pasaran Amerika sebelum masuk ke Asia Tenggara
1. Jadi tidak hairanlah rekaan baru Kia Sorento 2022 ini datang dengan gaya seperti SUV besar gedabak dari Amerika. Bahagian depan mengekalkan rekaan jeriji Tiger Nose, dihiasi dengan Tiger Eye Line LED DRL, lampu depan LED dengan projector, lampu belakang LED (macam rekaan GM, Buick atau Ford) serta alunan gaya badan yang tampil gah dan maskulin

2. Kia Sorento dan Hyundai Santa Fe sebenarnya berkongsi platform yang sama iaitu Hyundai Kia N Platform, tapi dari segi ukuran Kia Sorento lebih besar dengan panjang 4810mm, lebar 1900mm dan tinggi 1700mm. Jarak antara roda pula ialah 2815mm
3. Semua varian AWD akan diberikan rim bersaiz 19 inci dan dibalut dengan tayar Goodyear Eagle F1 bersaiz 235/55 R19. Sistem brek menggunakan brek cakera pada semua roda lengkap dengan sistem ABS, ESC, Traction Control dan Brake Assist
4. Suspensi tayar depan menerima tetapan Topang McPherson manakala suspensi belakang menerima sistem MultiLink bagi semua varian termasuk AWD. Boleh tahan sedap ketika selekoh dan selesa ketika lalu jalan tak rata

5. Bagi trenkuasa, enjin 2200cc 4 silinder Smart Stream turbodiesel ini menjana sekitar 199 kuasa kuda dan 440Nm tork dari seawal 1750 RPM lagi dengan bantuan sistem suntikan bahan api dengan tekanan setinggi 2200 bar.
6. Enjin turbodiesel ini dihasilkan dengan menggunakan blok aluminium menjadikan enjin ini 38kg lebih ringan berbanding enjin turbodiesel R yang lama. Malah enjin Smart Stream ini dihasilkan dalam varian 1500cc, 1600cc, 2000cc dan juga 3000cc 6 silinder
7. Bagi varian turbodiesel, ia hanya disambungkan dengan transmisi 8 kelajuan klac berkembar yang mengagihkan semua kuasa pada semua roda dengan sistem pacuan semua roda. Tapi pada kebanyakan masa sistem AWD ini hanya akan menghantar kuasa pada roda depan sahaja.

8. Istimewa berkenaan dengan transmisi 8 kelajuan klac berkembar ini ialah ia direka dengan 4 gear awal di depan bertindak sebagai gear memecut manakala 4 lagi gear selepasnya direka dengan ciri overdrive dengan ratio adalah kurang daripada 1.
9. Secara purata Kia Sorento 2.2 turbodiesel ini memberikan bacaan sekitar 13km bagi setiap liter, dan sepanjang memandu uji Sorento selama 5 hari dan melebihi 1000km, penulis langsung tidak menambah diesel ke dalam tangki
10. Di bahagian depan kabin, Kia Sorento 2.2 turbodiesel ditawarkan dengan skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci dan bersambung dengan meter digital 12.3 inci yang mendominasi papan pemuka lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar serta 12 pembesar suara daripada jenama BOSE.

11. Elemen mewah yang diterapkan dalam rekaan termasuklah lampu kabin pada papan pemuka serta kemasan pintu depan, kusyen balutan kulit, gabungan kemasan krom serta plastik berkilat. Kia Sorento menawarkan 6 sambungan USB, 1 sambungan mengecas tanpa wayar dan 1 soket 12 volt
12. Semua barisan tempat duduk akan menerima corong penyaman udara termasuk tempat duduk di bahagian belakang sekali, lengkap dengan kawalan suhu dan kelajuan kipas penyaman udara. Susunan kusyen Captain Seat di bahagian tengah memudahkan penumpang belakang keluar masuk ke bahagian belakang sekali
13. Dengan jarak antara roda mencecah 2815mm, Kia Sorento 2.2 Turbodiesel menyediakan ruang sekitar 187 liter jika semua kusyen digunakan, menjadi 616 liter jika kusyen barisan kedua dibuka dan boleh digandakan menjadi 2011 liter jika semua kusyen dilipat.

14. Dari segi aspek keselamatan, Kia Sorento 2.2 Turbodiesel menyediakan semua ciri keselamatan model (Advance Safety) seperti Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Blind Spot Monitor, Blind Spot Reminder pada paparan HUD, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Auto High Beam, Forward Colission Alert, dan juga Smart Cruise Control
15. Bagi teknologi Avoidance Assist, sistem ini akan membrek dengan sendiri jika ia mengesan Sorento berisiko untuk kemalangan sewaktu mengesan objek dalam titik buta dan ketika mengundur dan ketika dipandu pada arah depan. Malah paparan video Blind Spot juga diberikan pada meter digital
16. Kia Sorento 2.2 Turbodiesel diberikan 4 mode pemanduan samaada Comfort, Eco, Sport atau Smart dan kebanyakan masa penulis memang gunakan mode Smart. Mode ini akan memilih 3 mode di atas secara automatik berdasarkan gaya pemanduan anda. Anda juga boleh menggunakan Driving Mode Multi Terrain khas untuk varian AWD

17. Ia menawarkan mode tambahan seperti Snow, Mud atau Sand. Pada kebanyakan masa semua kuasa akan dihantar ke roda depan bagi penggunaan bahan api yang efisyen. Sistem AWD akan diaktifkan bila sensor mengesan gelinciran roda pada permukaan jalan, pemanduan secara agresif berdasarkan input stering dan pedal minyak serta melalui jalan offroad
18. Untuk rekod, berat Kia Sorento 2.2 Turbodiesel adalah sekitar 1856kg, iaitu 85kg lebih berat berbanding dengan varian 2.5 NA AWD, atau 137kg lagi berat berbanding dengan varian 7 tempat duduk 2.5 NA FWD. Semua varian AWD menggunakan rim 19 inci dibalut dengan tayar 235/55 R19
19. Walaupun nampak berat, 440Nm tork yang masuk seawal 1750 RPM ini menjadikan pecutan lebih “pergi” dan melonjak ke depan berbanding dengan varian 2.5 NA dengan pacuan semua roda. Namun jika anda terlalu ghairah menekan pedal di selekoh, mungkin anda akan terkejut sedikit dengan olengan cesi.

20. Ya ia masih melekat dengan baik di selekoh tapi berat 1856kg ini mewujudkan inersia yang menyebabkan anda terasa bergelut dengan stering di selekoh. Sesekali akan wujud pergerakan cesi (pitch movement) dari depan ke belakang.
21. Penumpang barisan depan atau kedua mungkin tidak terasa, tapi penumpang barisan ketiga akan terasa pening dan ini menghindarkan anda daripada memecut sepanjang masa dan mengoptimakan semua kuasa enjin. Jika anda memandu di lebuhraya, anda boleh kekal di lorong kanan sepanjang masa.
22. Tapi kalau anda memandu di jalan persekutuan, anda kena berhari hati sedikit dan memandu secara santai. Transmisi 8 kelajuan dengan klac berkembar ini beroperasi dengan baik di lebuhraya dan pada halaju tinggi. Hanya ketika merayap di kesesakan jalan barulah terasa operasi klac kurang lancar sedikit

Siapa yang patuu beli?
Pada hemat penulis, ada 2 golongan pemandu yang perlu membeli kenderaan ini. 1 pemandu yang selalu keluar masuk ke tapak pembinaan, menggunakan jalan offroad biasa atau ketika perlu membawa bos besar melawat ke tapak projek dengan laluan mencabar sesuai untuk membeli kenderaan ini.
Atau ketua keluarga yang perlukan sebuah kenderaan utama, untuk keluar bekerja, sukakan aktiviti lasak di hujung minggu dan perlu membawa antara 6 ke 7 penumpang. Sesekali kalau anda perlukan Sorento ntuk meredah banjir kilat pun tiada masalah
Seperti biasa, Kia Malaysia menawarkan jaminan tanpa had perbatuan selama 5 tahun, servis percuma selama 5 tahun termasuk alat ganti terpilih dan cecair pelincir menjadikan anda pengalaman memandu Kia lebih tenang. Cuma harga varian turbodiesel ini tidak tenang dan tenteram, RM 255,288 seunit tanpa cukai jalan
