Buletin

DILEMA CAJ PARKIR DI LEMBAH KLANG. ADA YANG LEBIH MAHAL DARIPADA SEWA RUMAH

Caj parkir kereta di sekitar Lembah Klang dianggap tidak munasabah apabila ada antara mereka terpaksa berbelanja sehingga RM89 sehari untuk meletak kenderaan. Lebih mengejutkan, kos parkir untuk sebulan dipercayai lebih mahal daripada sesetengah kadar sewa rumah.

Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai dilihat menggunakan bahu jalan untuk meletak kereta sebagai alternatif menyelamatkan diri daripada dibebani caj parkir yang tinggi.

Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada mereka yang menggunakan kereta, malah kende­raan kecil seperti motosikal juga mempunyai masalah sama apabila ruangan parkir tidak ditambah biarpun peningkatan kenderaan direkodkan setiap tahun.

Bagi Nuratika Adnan, 28, dia mendedahkan caj parkir yang pernah dibayar sebelum ini mencecah RM89 sehari bagi tempoh 12 jam di bangunan syarikatnya beroperasi.

“Saya sebelum ini terpaksa keluar hampir RM100 sehari hanya untuk parkir dan tol. Memang rasa nak menangis sewaktu awal-awal kerja di sini.

“Jika saya nak gunakan ­pengangkutan awam pula, tiada bas di kawasan rumah saya dan parkir di MRT juga sentiasa penuh membuatkan saya ragu-ragu untuk meninggalkan kereta,” katanya.

Nuratika mengakui, dia terpaksa meninggalkan kerja lama­nya itu disebabkan perlu menanggung kos yang tinggi baru-baru ini.

“Saya kerja hanya setahun dan kini sudah bekerja sendiri. Saya terpaksa membuat keputusan ini berdasarkan gaya hidup di bandar ini memerlukan kos yang yang tinggi,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Malcom Yap, 30 memberitahu kadar parkir di sebuah bangunan di Kuala Lumpur mengenakan bayaran sebanyak RM5 sejam menjadikan kos parkir sehari berjumlah RM60.

“Jika sebulan, kos akan menjadi RM1,280 hanya untuk parkir kereta. Ia lebih mahal daripada sewa rumah,” ujarnya.

Bagaimanapun, masalah tersebut dilihat tidak menemui jalan penyelesaian apabila jari­ngan pengangkutan awam di negara ini disifatkan lemah serta tidak menyeluruh terutama di kawasan pinggir bandar.

Menurut Eroul Ismail, 31, pengangkutan awam sepatutnya menjadi solusi kepada permasalahan kesesakan dan caj parkir tetapi malangnya seperti tidak berkesan.

Dia yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, lebih teruk lagi, perkhidmatan itu juga gagal memahami kehendak penduduk tempatan di sepanjang laluan yang dibuat.

Kosmo! semalam melaporkan caj parkir di ibu kota mahal dinaikkan sehingga RM30 sehari. – Kosmo Online

Google ads
Back to top button