
DRON KERETA KEBAL 20-TAN REKAAN PEMBUAT SENAPANG AK-47 KALASHNIKOV
Selalu sangat layan berita pasal kereta dan motosikal sekali sekala kita layan segmen teknologi automobil yang berbeza. Barulah berkembang sikit fikiran, ye tak? Sekarang ramai yang dah pandai main dron, ada yang suka-suka dan ada juga yang buat skodeng. Itu dron yang boleh terbang dan ambil gambar.
Kini teknologi ini dikembangkan lagi untuk menghapuskan musuh. Tapi jangan bimbang kerana ia tidak akan dipasarkan untuk orang awam tetapi khusus untuk kegunaan ketenteraan. Kalau tidak, memang haru jadinya, cikgu rotan anak di sekolah, mak ayah hantar dron pergi belasah cikgu.
Okey, sambung balik bab dron tadi, pernah dengar nama Kalashnikov? Kalau tak pernah memang koman betul la. Kalashnikov ialah nama sebuah syarikat yang menghasilkan raifal tempur paling popular di dunia, AK-47. Kini mereka mengorak langkah setapak lagi dalam peperangan zaman moden dengan menghasilkan dron kereta kebal.
Syarikat yang dinamakan bersempena dengan nama pereka raifal AK-47 ini kini merancang untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang digelar UCGV (Unmanned Combat Ground Vehicle). Kenderaan tanpa pemandu ini akan dilengkapkan dengan mesin gan dan senjata anti-kereta kebal. Berat keseluruhannya pula dianggarkan sekitar 20-tan.
Ia dikatakan lebih besar berbanding model 7-tan BAS-01G Soratnik yang dipasarkan Kalashnikov sekarang yang kelihatan seperti sebuah kereta kebal bersaiz kecil. Ia direka sebagai kenderaan sokongan kepada infantri dan dilengkapi dengan mesin gan PKTM Kalashnikov dan lapan peluru berpandu anti-kereta kebal Kornet-EM.
Soratnik mampu bergerak dengan kelajuan maksima 40 km/j. Ia juga boleh dioperasikan dalam jarak sehingga 6 batu. Ia sebenarnya cukup laju untuk sebuah robot tempur bersaiz kecil.
Buat masa ini, keperluan UCGV dengan berat 20-tan belum dapat dipastikan. Jika sebuah jentera seperti Soratnik sudah mampu membawa selaras mesin gan dan lapan senjata anti-kereta kebal (sama seperti sebuah helikopter penggempur), apa perlunya menghasilkan sebuah kenderaan baru dengan berat hampir tiga kali ganda? Mungkin Kalashnikov sedang merancang untuk membina sebuah kereta kebal sebenar tanpa pemandu yang bersaiz penuh? Siapa tahu kan?
Syarikat ini dinamakan semepena nama Mikhail Kalashnikov, seorang bekas petani yang kemudiannya menjadi kru kereta kebal Russis sewaktu Perang Dunia kedua. Beliau telah mencipta raifal lagenda AK-47 sewaktu sedang sembuh dari kecederaan akibat perang. Sehingga kini dikatakan lebih dari 100 juta laras raifal ini telah dihasilkan di seluruh dunia. Ini dah menyamai rekod Nokia 3310!
Kini rekaan berasaskan dron memang merupakan teknologi baru yang akan merevolusikan peperangan di masa hadapan. Tiada siapa yang sukakan peperangan tapi jika ia berlaku ada baiknya kita membuat persediaan yang rapi. Dron kereta kebal tanpa pemandu mampu menyelamatkan nyawa tentera jika ia ditewaskan.
BACA: CANGGIH! DRON NISSAN GT-R
BACA: EVOLUSI DRON YAMAHA FAZER G2