
KIA SYROS DIPERKENAL DI INDIA, ADAS TAHAP 2, 1.0L TURBO, 1.5L CRDi DIESEL
Pada Oktober 2024 Kia memperkenalkan pikap Tasman dengan reka bentuk unik. Tidak menunggu lama reka bentuk sebegitu kembali lagi dan diterjemahkan pada kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Syros.
Selain Tasman, SUV ini juga nampak seperti EV9 yang dikecilkan. Syros dibangunkan daripada pelantar K1 yang diperkukuhkan (model kecil Kumpulan Hyundai).
Syros model pertama di dalam segmen dilengkapi kerusi belakang dengan larasan gelangsar, rebahan dan pengudaraan dan beberapa lagi ciri menarik termasuk Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2!
Sistem ini mempunyai 16 fungsi keselamatan autonomi dan sejumlah lagi ciri-ciri keselamatan.
Reka bentuk Syros membawa falsafah Opposites United yang membawa rekaan berani dan kebolehgunaan. Syros ibarat kereta utilitarian dan disolek dengan bergaya.
Rupa depan menggabungkan lampu signatur LED Starmap dan Digital Tiger Face. Sama seperti depan, bahagian sisi sarat dengan segi, lekukan dan pendakap badan termasuk rekaan rim 17 inci.
Perhatikan juga bentuk bingkai cermin sisi dari depan ke belakang. Di sebalik rekaan yang sarat, Kia menyorokkan pembuka pintu ke dalam badan.
Bahagian belakang lebih tenang dan menarik dengan lampu bentuk L yang kecil.
Berbekalkan jarak roda 2,550 milimeter (mm), Kia memuatkan kerusi belakang dengan fungsi gelangsar dan rebahan selain pisahan 60:40.
Satu lagi yang menarik dan seperti dinyatakan Syros dilengkapi kerusi depan dan belakang dengan fungsi pengudaraan.
Skrin Trinity Panoramic Display yang panjang berukuran 30 inci dan suasana di dalam kereta meriah dengan lampu suasana 64 warna.
Pemandu dan penumpang juga dapat menikmati suasana terbuka melalui bumbung suria panoramik dua bahagian (dual-pane).
Pemandu menggengam stereng Double D-Cut, duduk di atas kerusi dengan empat larasan berkuasa dan memijak pedal aloi.
Ciri luar biasa dan mewah Syros turut merangkumi sistem bunyi premium Harman Kardon dengan lapan pembesar suara.
Dari segi keselamatan, Syros dilengkapi ADAS Tahap 2 dengan 16 fungsi berikut:
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan-Kenderaan (FCA-Car)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan-Pejalan Kaki (FCA-Ped)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan-Kenderaan Basikal (FCA-Cyc)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan-Pembelokan Simpang (FCA-JT)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan-Dari Depan (FCA-DO)
- Kawalan Pemanduan Pintar dengan Henti dan Mula (SCC)
- Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (LVDA)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Kekal Dalam Lorong (LKA)
- Bantuan Ikut Lorong (LFA)
- Bantuan Lampu Tinggi (HBA)
- Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
- Bantuan Elak Perlanggaran Parkir – Mengundur (PCA-R)
- Kamera 360 Darjah
- Pemantauan Pandangan Buta dalam Kluster (Blind View Monitor in Cluster)
Senarai teknologi keselamatan belum tamat dan terdapat 20 lagi sistem seperti di bawah:
- Beg Udara Depan
- Beg Udara Sisi Tempat Duduk Depan
- Beg Udara Sisi
- Pemantau Tekanan Tayar
- Sistem Brek Anti-Kunci dengan Pembahagian Daya Brek
- Sistem Bantuan Kuasa Brek (BAS)
- Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
- Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM)
- Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC)
- Isyarat Henti Kecemasan (ESS)
- Kunci Kanak-Kanak (Child Lock)
- Sensor Parkir Depan x 4
- Sensor Parkir Belakang x 4
- Kunci Pintu Automatik Mengikut Kelajuan (Speed Sensing Auto Door Locks)
- Kunci Pintu Automatik Berdasarkan Impak (Impact Sensing Auto Door Unlock)
- Tali Pinggang Keledar 3 Sudut untuk Semua Tempat Duduk Depan & Belakang dengan Peringatan
- ISOFIX Belakang
- Suis Beg Udara Penumpang Depan (Front Passenger Airbag On/Off Switch)
- Status On/Off Beg Udara Penumpang Depan (Front Passenger Airbag On/Off Indicator)
- Amaran Penumpang Belakang
Pelanggan ditawarkan dua pilihan enjin iaitu Smartstream 1.0-liter turbo petrol berkuasa 120 ps dan 172Nm atau 1.5 liter CRDi diesel dengan 116 ps dan 250Nm.
Kedua-dua pilihan boleh dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan. Kotak gear automatik dibahagikan kepada dua iaitu enam kelajuan untuk 1.0 petrol dan tujuh kelajuan cekam berkembar bagi model diesel.
Untuk pasaran India, Syros dibahagikan kepada empat varian standard dan dua varian pilihan iaitu HTK, HTK (P), HTK+, HTX, HTX+ dan HTX+(P) dan kelengkapan bergantung kepada jenis varian.













