Buletin

WANITA KANTOI CUBA SELUDUP KELUAR RM10.5 JUTA DI LAPANGAN TERBANG

Seorang wanita Britain ditahan di Lapangan Terbang Heathrow kerana cuba menaiki satu penerbangan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sambil membawa wang tunai £1.9 juta (RM10.5 juta) di dalam lima bagasi.

Tara Hanlon, 30, dari Yorkshire, England ditahan sekumpulan Pengawal Sempadan di Terminal 2 lapangan terbang berkenaan kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan), Sabtu minggu lalu.

Anggota Pengawal Sempadan memeriksa lima bagasi wanita berkenaan dan menemui wang tunai £1.9 juta. Ia merupakan hasil penemuan wang paling besar sepanjang tahun ini.

Hanlon ditahan bersama seorang lagi wanita berusia 28 tahun dari Doncaster dan siasatan dilakukan Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA).

Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Uxbridge atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 5 Oktober lalu.

Dia kini ditahan sehingga dibawa ke Mahkamah Diraja Isleworth pada 5 November ini manakala seorang lagi wanita dibebaskan selepas siasatan.

Menteri Kepatuhan Imigresen dan Mahkamah, Chris Philp berkata:

“Ini adalah penemuan dan rampasan wang tunai terbesar daripada seseorang individu di sempadan bagi tahun 2020 dan saya berbangga dengan usaha Pengawal Sempadan.

“Mencegah eksport wang tunai yang tidak diisytiharkan dari UK (United Kingdom) adalah satu langkah penting membanteras geng jenayah terancang.” – agensi

Google ads
Back to top button