
ERC 2023 – MARTIN SESKS MENANG DI TEMPAT SENDIRI
Pusingan keempat kalendar FIA European Rally Championship (ERC) musim ini yang berlangsung di Tet Rally Liepāja, Estonia telah pun dimenangi oleh pemandu tuan rumah, Mārtiṇš Sesks.
Kemenangan Mārtiṇš Sesks yang memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 ini jelas menunjukkan kehandalan beliau, apa tah lagi berlumba di rumah sendiri. Kemenangan ini adalah kemenangan berturut – turut buat Mārtiṇš Sesks setelah melakukannya di Rally Poland sebelum ini.
Mārtiṇš Sesks ternyata cukup unggul ketika berlumba dalam keadaan yang berdebu dan laluan sedikit becak akibat daripada hujan yang turun ketika hari perlumbaan.
Dengan mendahului sekitar 28.3sec ketika permulaan SS hari terakhir. pemandu Team MRF Tyres yang berusia 23 tahun ini berada dalam posisi yang agak selesa sejak awal. Beliau berjaya menambah dua lagi masa terpantas untuk meningkatkan pendahuluannya kepada 34.2 saat sebelum kesemua peserta berkumpul semula tengah hari di Liepāja, yang kota kelahirannya.

Dan di akhir perlumbaan, Mārtiṇš Sesks kekal mendahuli di hadapan pesaing rapatnya, Hayden Paddon di tempat kedua keseluruhan dengan perbezaan 41.4 saat. Suatu perbezaan masa yang cukup signifikan. Malah, Mārtiṇš Sesks turut mempamerkan pemanduan yang handal apabila mengutip mata maksimum ketika Power Stage.
“Wow ianya sempurna,” ujar Mārtiṇš Sesks ketika melintasi garisan penamat.
“Ianya adalah minggu yang cukup istimewa. Terima kasih kepada MRF Tyres dan kepada semua,” tambah beliau lagi.
Dengan empat perlumbaan setakat ini, , Mārtiṇš Sesks setakat ini dilihat cuba untuk mengejar Hayden Paddon selaku pendahulu dengan kutipan 83 mata setakat ini. Manakala Hayden Paddon bersama jentera Hyundai i20 yang menggunakan tayar Pirelli terus menunjukkan aksi yang agak konsisten apabila berterusan menaiki podium sedari awal saingan kempen ERC musim ini lagi.
Hayden Paddon selesa mendahului saingan keseluruhan dengan kutiipan 113 mata. Sementara itu, Mads Østberg pula akur untuk berada di tempat ketiga keseluruhan walau pun Citroen C3 Rally2 yang dipandunya kehilangan cengkaman sekali gus mengakibatkan beliau kehilangan sedikit masa. Inilah adalah podium berikutnya setelah melakukannya ketika perlumbaan pembukaan di Fafe Mac lalu.

Manakala penyandang juara FIA ERC musim lalu, Efrén Llarena yang sebelum ini memandu Skoda Fabia RS Rally2 memutuskan kembali menggunakan kereta versi lama, Skoda Fabia Rally2 evo setelah merasakan yang beliau masih belum serasi dengan kereta baharu. Namun beliau hanya mampu berada di kedudukan kesembilan keseluruhan sahaja untuk perlumbaan ini.
BACA : ERC 2023 – KALI INI GILIRAN MARTINS SESKS UNTUK MENANG DI RALLY POLAND
BACA : ERC 2023 – YOANN BONATO MENANG DI RALLY ISLAS CANARIAS








