Buletin

ERC 2023 – OLIVER SOLBERG MENANG DI BUMI SENDIRI BAUHAUS ROYAL RALLY OF SCANDINAVIA

Pemandu handalan WRC2 yang juga merupakan pemandu WRC sebelum ini, Oliver Solberg berjaya memenangi perlumbaan sulung BAUHAUS Royal Rally of Scandinavia dalam saingan FIA European Rally Championship (ERC) musim 2023 ini.

Menarik buat pemandu yang berasal dari Sweden ini, kemunculan beliau pada mulanya bukanlah dianggap sebagai serius. Apatah lagi pemandu yang berusia 21 tahun ini hanya memandu jentera rali lama belia, Volkswagen Polo GTI R5. Jentera rali yang sama ketika beliau mula memenangi perlumbaan ERC di Rally Liepāja pada usia 17 tahun sekali gus mencipta rekod sebagai pemenang perlumbaan termuda di ERC.

Mungkin ini adalah kemunculan sulung dan yang terakhir Oliver Solberg bagi ERC musim ini memandangkan beliau cukup fokus di saingan WRC2 setakat ini.

Dan saingan di BAUHAUS Royal Rally of Scandinavia ini, Oliver Solberg ternyata cukup unggul waima hanya menggunakan model R5 berbanding pemandu lain yang memandu jentera Rally2 yang lebih moden. Oliver Solberg terus mendahului dari awal lagi dengan meninggalkan beberapa jaguhan ERC seperti Mikko Heikkilä, Hayden Paddon dan juga Mārtiṇš Sesks.

Sebetulnya sepanjang hari perlumbaan Oliver Solberg menhadapi masalah dengan steering rack sejak dari SS6 lagi yang membuatkan beliau tidak berupaya mendapatkan kelajuan yang sepatutnya. Pun begitu, Oliver Solberg kekal mendahului dengan kelebihan 22.5 saat di hadapan Hayden Paddon.

Ternyata Oliver Solberg cukup gembira dengan kemenangan ini. Apatah lagi lokasi perlumbaan dengan jarak tempat tinggalnya cuma satu jam sahaja tempoh masanya. Benar – benar seperti berlumba di rumah sendiri menurutnya. Ironinya, hampir seluruh keluarga Solberg sebenarnya turut berlumba. Ayahnya, Petter Solberg turut beraksi dalam perlumbaan demo istimewa Rally Legends memandu jentera Citroen C4 WRC bersama ibunya Tove. Ibu Oliver Solberg, Pernilla Solberg pula beraksi dengan memandu Mitsubishi Lancer, pakciknya Henning Solberg pula memandu jentera Toyota Celica. Satu momen yang cukup indah.

Buat Hayden Paddon, beliau masih lagi kelihatan konsisten podium setakat lima perlumbaan ERC musim ini bersama jentera Hyundai i20 Rally2. Ini merupakan podium kedua ketiga berturut – turut buat pemandu New Zealand ini yang cukup fokus mahukan kejuaraan ERC musim ini. Dengan keputusan ini, beliau berjaya mendahului saingan keseluruhan meninggalkan pesaing rapat beliau Mārtiṇš Sesks.

Mārtiṇš Sesks yang memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 pula pastinya cukup lega untuk memenuhi slot podium terakhir bagi kekal mengutip mata penting sekali gus cuba mengejar rapat Hayden Paddon.

Malang pula terus menimpa penyandang juara ERC, Efrén Llarena yang menghadapi masalah dengan sistem suspensi belah kiri. Mungkin beliau harus menyerahkan tahta kejuaraan kepada orang baharu pula gayanya.

Pusingan berikutnya bakal berlangsung pada hujung bulan ini di Rally di Roma Capitale.

BACA : ERC 2023 – MARTIN SESKS MENANG DI TEMPAT SENDIRI

BACA : ERC 2023 – KEMENANGAN DRAMATIK BUAT HAYDEN PADDON DI RALLY SERRAS DE FAFE

Google ads

B K

Back to top button