Buletin

ERC 2023 – YOANN BONATO MENANG DI RALLY ISLAS CANARIAS

Perlumbaan pusingan kedua kalendar FIA European Rally Championship (ERC) Rally Islas Canarias telah pun berlangsung pada 4 – 6 Mei yang lalu. Dan kali ini, giliran pemandu dari Perancis Yoann Bonato untuk memenangi perlumbaan yang berlangsung di Kepulauan Gran Canaria, Sepanyol.

Rally Islas Canarias ini sebetulnya turut terkenal sebagai tempat pelancongan kerana ianya dilangsungkan di pulau yang sudah pastinya menyajikan pemandangan yang cukup indah. Rali ini juga telah sekian lama menjadi lokasi perlumbaan ERC, semenjak dari tahun 1977 lagi.

Menarik tentang perlumbaan Rally Islas Canarias ini, ketika awal perlumbaan ianya melibatkan lokasi Gran Canaria Arena yang juga merupakan stadium bola keranjang. Setiap pelumba harus melewati kawasan dalam stadium yang sudah pastinya telah diubahsuai dengan mereka harus membuat pusingan donut sebelum keluar semula untuk meneruskan perlumbaan SS1.

Dan untuk SS1 itu, pemandu pasukan  BRC Racing Teamm Hayden Paddon yang menandu Hyundai i20 N Rally2 itu tampak tidak mengalami masalah untuk mendahului saingan. Namun kemudiannya menuju sehingga ke akhir saingan, pemandu Perancis Yoann Bonato berjaya meninggalkan Hayden Paddon 36.9 saat di belakang pemandu dari New Zealand tersebut. Terima kasih kepada pemilihan tayar medium-compound Michelin yang cukup sesuai dengan kondisi jalanraya yang agak basah.

Sedikit info, Yoann Bonato yang memandu jentera Citroen C3 Rally2 ini juga turut terlibat dengan progam pembangunan jentera rali Citroen C3 ini. Jadi, sudah tentu beliau dilihat cukup arif tentang model jentera yang dipandunya sekarang ini. Ketika saingan pembukaan di Portugal, beliau hanya berupaya menduduki tempat keenam keseluruhan sahaja.

Dan Hayden Paddon pula harus akur untuk berada di tempat kedua memandangkan beliau tidak mahu mengambil risiko dan memutuskan untuk menggunakan tetapan penggunaan tayar hard-compound. Akibatnya beliau memang tidak mampu untuk mengejar Yoann Bonato.

Pun begitu, Hayden Paddon tetap gembira dengan keputusan ini, kekal mengutip mata penting dan terus mendahului saingan pungutan mata ERC. Ternyata ini juga merupakan strategi perlumbaan yang harus digunakan oleh Hayden Paddon memandangkan beliau mempunyai cita – cita yang besar untuk memenangi saingan ERC kali ke 71 musim ini.

Tempat ketiga keseluruhan menjadi buat penyandang kejuaraan ERC musim lalu, Efrén Llarena yang memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2. Keputusan podium ketiga ini sudah tentunya cukup melegakan buat Efrén Llarena apatah lagi sebelumnya beliau turut terlibat dengan kemalangan apabila terlanggar batu. Mujur jentera beliau hanya mengalami kerosakan kecil sahaja melibatkan sistem ampaian dan tidak melibatkan keseluruhan jentera. Sudah tentu podium ini diibaratkan bonus buat beliau.

Pusingan ketiga perlumbaan ERC musim ini bakal berlangsung pada pertengahan Mei nanti di Poland.

BACA : ERC 2023 – KEMENANGAN DRAMATIK BUAT HAYDEN PADDON DI RALLY SERRAS DE FAFE

BACA : GENERASI KETIGA McRAE BAKAL SERTAI JUNIOR ERC 2023

Google ads

B K

Back to top button