Artikel Pilihan

BMW PERKENALKAN CERMIN MATA PINTAR DENGAN PAPARAN HUD – BOLEH BERANGAN JADI TOM CRUISE NI

Penunggang motosikal mesti mempunyai kepekaan yang tinggi sewaktu menunggang. Berbeza dari pemandu kereta yang dilindungi casis kenderaan, penunggang motosikal tidak memiliki perlindungan yang sama kecuali jika memakai sut perlumbaan. Rasanya tak ada penunggang yang akan memakai sut perlumbaan untuk ke masjid ataupun ke kedai runcit untuk membeli telur ayam. Kini anda tidak perlu bimbang kerana semua informasi motosikal dan maklumat perjalanan anda boleh diakses dengan cermin mata pintar keluaran BMW.

Ia diperkenalkan oleh BMW Motorrad dan ia memang kelihatan seperti kaca mata biasa. Tak adalah besar gedabak macam cermin mata yang digunakan pelumba basikal. Lensa cermin mata pintar ini akan memberikan bacaan data seperti kelajuan, posisi gear, navigasi dan macam-macam maklumat lain lagi.

Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai paparan head up yang sama seperti kereta-kereta moden keluaran BMW membuat penunggang tidak perlu mengalihkan pandangan sewaktu menunggang.

Kedudukan informasi ini boleh dilaras mengikut keselesaan penunggang dan ia boleh dihubungkan ke peranti pintar anda menggunakan Bluetooth. Bila digandingkan dengan aplikasi BMW Motorrad Connected, ia juga boleh menunjukkan sistem GPS dan macam-macam lagi.

Cermin mata pintar yang dinamakan ConnectRide Smartglass ini memang direka khusus untuk penunggang motosikal dan BMW menawarkannya dalam dua saiz (medium dan besar). Kecil sangat macam cermin mata professor mana boleh guna untuk menunggang. Masuk angin dari tepi ooo. Ia dikatakan sesuai untuk semua rupa paras penunggang dan selesa dipakai dengan mana-mana topi keledar.

Lensanya juga mempunyai dua pilihan ketelusan warna berdasarkan visor topi keledar yang berbeza. Kalau visor dah gelap kenalah guna lensa yang lebih cerah. Kedua pilihan lensa mempunyai perakuan UVA/UVB dan boleh disesuaikan dengan cermin mata anda jika anda memang memakai cermin mata. Jadi tak adalah kena pakai dua cermin mata sekali gus.

Cermin mata ini dikuasakan bateri lithium-ion bersepadu yang mampu bertahan sehingga 10 jam dengan cas penuh. Ia mampu beroperasi dengan baik dari suhu -10 darjah Celcius sehinggalah 50 darjah Celcius untuk penunggang hardcore macam kami. Korang kalau hujan rintik-rintik pun dah gelabah dah kalut pakai baju hujan 3 lapis memang masuk liga lain la.

Sudah tentu harga cermin mata ini tidak murah tapi ia bukanlah cermin mata yang termahal di dunia. Buat masa sekarang harganya dianggarkan sekitar RM3,500 di Eropah. Kalau dah sampai Malaysia belum pasti lagi. Kena tunggu pengumuman rasmi dulu.

Tapi serius la cermin mata ni memang cool. Siapa yang pakai tu sahih akan perasan macam Tom Cruise dalam filem Misi Mustahil.

Google ads
Back to top button