
ERC 2024 – YOANN BONATO MUNCUL JUARA DI RALLY ISLAS CANARIAS DUA KALI BERTURUT – TURUT
Pemandu Yoann Bonato dari Perancis berjaya memenangi Rally Islas Canarias dengan cukup bergaya dan sempurna pada pusingan kedua dalam kalendar FIA European Rally Championship (ERC) pada hujung minggu baru ini. Ini adalah kemenangan berturut – turut buat Yoann Bonato di Rally Islas Canarias sementelah melakukannya pada tahun sudah.
Yoann Bonato bersama oleh rakan senegara dari Perancis, Benjamin Boulloud, memulakan perlumbaan enam peringkat penentuan dengan jarak tipis 0.3 saat mengatasi rakan senegaranya Mathieu Franceschi dalam cuaca yang cukup terik di Gran Canaria.
Kemenangan Yoann Bonato ini adalah yang pertama untuk jentera Citroën C3 Rally2 dalam ERC tahun ini tetapi yang kedua untuk Michelin pada musim 2024. Dengan Škoda Fabia RS Rally2 yang dipandu Mathieu Franceschi juga dilengkapi dengan tayar Michelin, pengeluar Perancis itu memperluaskan kelebihannya dalam Kejohanan Rali Eropah FIA yang baharu untuk 2024 untuk Pembekal Tayar.

Pun begitu, Mathieu Franceschi yang berusia 24 tahun turut mempamerkan pemanduan yang handal untuk cuba mengejar Yoann Bonato dengan hanya ketinggalan 2.8 saat sahaja. Menariknya, ini merupakan podium kedua berturut – turut buat Mathieu Franceschi sementelah melakukannya yang sama sewaktu perlumbaan pertama di Hungary.
Khabarnya juga Yoann Bonato yang berusia 40 yang juga merupakan juara rali tarmac Perancis sebanyak lima kali itu hanya bercadang untuk berlumba tiga perlumbaan sahaja sepanjang kempen ERC musim ini. Menurut beliau, sekiranya dapat mencapai kejayaan untuk setiap satu perlumbaan ianya adalah sempurna.
Dengan keputusan dua podium tempat kedua berturut – turut, ini bermakna Mathieu Franceschi adalah pendahulu pungutan mata setakat dua perlumbaan untuk menuju ke perlumbaan ketiga di BAUHAUS Royal Rally of Scandinavia pada bulan hadapan.

Pemandu Alejandro Cachón berjaya memenangi pertarungan mendebarkan untuk merebut petak podium terakhir dengan memandu jentera Toyota GR Yaris Rally2 dengan menggunakan tayar Pirelli, menewaskan Diego Ruiloba dengan 2.7 saat dengan Jose Antonio Suarez menduduki tempat kelima.
Penyandang juara ERC, Hayden Paddon dari New Zealand pula terpaksa akur untuk menduduki tempat keenam keseluruhan sementelah menghadapi masalah understeer bersama jentera Hyundai i20 N Rally2.
BACA : ERC 2023 – YOANN BONATO MENANG DI RALLY ISLAS CANARIAS
BACA : ERC 2024 – PEMANDU DARI ROMANIA SIMONE TEMPESTINI MUNCUL JUARA




