
ERC 2024 – PEMANDU DARI ROMANIA SIMONE TEMPESTINI MUNCUL JUARA
Pemandu rali yang berasal dari Romania Simone Tempestini berjaya mencipta kemenangan yang cukup dramatic untuk menjuarai perlumbaan pembuka tirai FIA European Rally Championship (ERC) di V-Híd Rally Hungary.
Simone Tempestini yang memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 menggunakan tayar Michelin mula bersaing apabila dia memenangi SS3 pada hari Sabtu sebelum melengkapkan aksi pembukaan 6.3 saat di belakang pendahulu hari sebelumnya Mikko Heikkilä.

Mikko Heikkilä yang memandu jentera Toyota GR Yaris Rally2 yang membuat debut pertama dalam kejohanan rali di Eropah dilihat agak selesa mendahului saingan namun pemandu Finland tersebut mengalami masalah dengan rim yang patah dan terpaksa menarik diri ketika perlumbaan SS10 sedang berlangsung.
Dan itu membolehkan Simone Tempestini bersama Juruarah Sergiu Itu untuk mengambil kesempatan memimpin sebagai pendahulu saingan kemudiannya. Apabila seorang lagi pencabar Mārtiņš Sesks terbabas dua peringkat perlumbaan, Simone Tempestini diberikan pendahuluan 7.7 saat untuk mengekalkan kedudukan ketika peringkat penentuan Power Stage.
Walaupun pemandu Keane Motorsport itu sentiasa kelihatan terkawal, laluannya menuju kejayaan podium pertama dilihat dipermudahkan apabila juara bertahan ERC Hayden Paddon mengalami kerosakan tayar hadapan sebelah kiri ketika SS13 dan akur untuk hanya berada di tempat keempat keseluruhan.

Ini membolehkan pemandu dari Perancis Mathieu Franceschi yang memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 meraih podium ERC pertamanya di tempat kedua dengan turut mencatat masa terpantas di Power Stage.
Dan podium ketiga menjadi milik hero tempatan, Miklós Csomós apabila melengkapkan senarai podium bersama jentera Skoda Fabia RS Rally2 yang dilengkapi dengan tayar Pirelli untuk meraikan kegembiraan warga tempatan
“Rasanya benar-benar menakjubkan,” kata Simone Tempestini yang berusia 29 tahun, pemenang lapan kali kejuaraan rali Romania. “Kami melakukan rali yang sangat baik, Sergiu melakukannya dengan sangat bagus, dia sempurna dan saya sangat gembira kerana ia adalah rali pertama saya dengan kereta ini dalam ERC dan dia menang. Ia sangat bagus, saya sangat gembira.”

Sementara itu, Martin Sesks yang turut memandu jentera baharu Toyota GR Yaris Rally2 sempat mendahulu saingan sebelum turut mengalami kerosakan dengan jentera setelah terlanggar dengan tunggul pokok.
Pusingan kedua akan berlangsung di Rally Islas Canarias pada awal Mei nanti dengan menyaksikan permukaan aspal menjadi cabaran buat pemandu.








