Buletin

ESPADA & ISLERO – 2 MODEL KLASIK LAMBORGHINI BERUSIA SETENGAH ABAD

Sebelum bermulanya era kereta super yang rapat ke bumi dan bumbung lebih rendah dari bahu, kereta buatan Ferrari dan Lamborghini tampil menarik dengan imej sederhana dan tidak radikal.

Tayar masih lagi tebal dan tidak senipis duit 50 sen manakala cermin belakang pula masih boleh dipandang.

Di antara model klasik ini ialah Espada dan Islero. Tahun ini Automobili Lamborghini menyambut ulang tahun ke-50 kedua-dua model tersebut dengan sesuatu yang amat istimewa.

Lamborghini Polo Storico adalah jabatan yang bertanggung jawab tentang model bersejarah syarikat dan telah berjaya membaik pulih Espada dan Islero milik Lamborghini Museum.

Kedua-dua model ini akan terlibat dalam siri jelajah di Itali bermula 7 hingga 11 September depan.

Satu yang menarik tentang Espada ialah model ini adalah kereta penumpang empat pintu pertama dihasilkan oleh Lamborghini. Espada juga adalah salah satu daripada model yang mencatat pengeluaran tinggi iaitu sebanyak 1,226 unit dalam tempoh sepuluh tahun produksi.

Model ini direka bentuk oleh Marcello Gandini dari firma rekaan Bertone. Satu lagi ciri menarik tentang Espada ialah bumbungnya yang rendah (tetapi tidak serendah Lambo sekarang) iaitu 1.2 meter dan masih lagi luas dengan saiznya yang lebar.

Espada ditawarkan melalui tiga keluaran iaitu Series I (sehingga Januari 1970) sebanyak 176 unit, Series II (sehingga 1972) sebanyak 578 unit dam Series III (sehingga 1978) sebanyak 472 unit.

Espada digerakkan oleh enjin depan 4.0 liter V12 DOHC dengan enam karburator barrel berkembar Weber. Model ini juga adalah yang pertama ditawarkan dengan transmisi automatik mengikut kemahuan pembeli.

Kelajuan maksimum Lamborghini Espada ialah kira-kira 245 km/j.

Lamborghini Islero atau nama asalnya Jslero dikeluarkan dari tahun 1968 hingga 1970 dalam dua versi. Siri pertama ialah Islero dan pada tahun 1969 Lamborghini menawarkan Islero S.

Islero dibina dari model 400 GT dan telah diubah untuk tayar yang lebih besar dan jarak roda lebih lebar. Model ini direka bentuk oleh Mario Marazzi dari firma Carrozeria Marazzi yang diasaskan oleh ayahnya sendiri.

Model ini dilengkapi enjin 4.0 liter DOHC V12 dengan enam karburator barrel berkembar Weber. Kelajuan maksimum model ini ialah 250 km/j untuk varian Islero dan 260 km/j untuk varian Islero S.

Berbanding Espada, model ini hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu 225 unit untuk Islero dan 70 unit untuk Islero S.

Jelajah yang dianjurkan oleh Polo Storico Lamborghini bakal merentasi jarak sejauh 650 km di Itali melalui Perugia, Assisi, Tuscany, Apennines, Mugello sehinggalah ke  Sant’Agata Bolognese iaitu ibu pejabat Automobili Lamborghini.

BACA: PANDU LAMBORGHINI HURACAN KURANG 4 JAM, PELANCONG DISAMAN RM194,000 DI DUBAI

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN DAH SAMPAI 10K UNIT – JAUH LAGI NAK LAWAN MYVI

Google ads
Back to top button