" "
Artikel Pilihan

NGAUMAN ENJIN IKONIK LAMBORGHINI AKAN KEKAL – PALING KURANG PUN UNTUK 14 TAHUN LAGI

Lamborghini sedang bersedia untuk model berkuasa elektrik pada masa hadapan tapi buat masa sekarang mereka masih belum bersedia untuk meninggalkan sepenuhnya enjin pembakaran dalaman. Jadi peminat Lambo jangan bimbang, bunyi ikonik Lambo masih belum diancam kepupusan.

CEO Lamborghini, Stephan Winkelman tidak melihat syarikat beliau sebagai sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya tetapi tidak menyangkal satu hari nanti mereka akan terpaksa mengikut arus semasa. Cuma buat masa kini ia bergantung kepada keputusan daripada Kesatuan Eropah.

Sudah tentu mereka sedikit terkesan kerana Parlimen Eropah akan mengenakan larangan ke atas kereta berkuasa petrol dan disel menjelang 2035 (syarikat kecil seperti Lamborghini pula mempunyai masa sehingga 2036). Jadi mereka tidak perlu rungsing sekurang-kurangnya untuk sepuluh tahun akan datang.

Malah mereka menaruh harapan agar bahan api alternatif seperti petrol sintetik dibenarkan penggunaannya. Malah kajian sedang giat dilakukan oleh Porsche selama beberapa tahun tentang penggunaan bahan api sintetik.

Peluang untuk enjin pembakaran dalaman dikekalkan masih ada jika penggunaan bahan api sintetik diluluskan cuma ia perlu melalui proses perundangan yang belum dapat diramal hasilnya. Porsche juga turut menggesa kerajaan Jerman agar turut mempertimbangkan e-fuel dalam perancangan mereka.

Tapi kalau usaha e-fuel gagal, Winkelman menjelaskan Lamborghini akan turut menyertai proses elektrifikasi model-model bermula 2030. Tapi itu lambat lagi dan buat masa kini peminat-peminat mereka masih boleh menikmati ngauman enjin beberapa model mereka yang terkini contohnya Huracan Sterrato dam Huracan Tecnica. Sterrato merupakan varian offroader manakala Tecnica ialah varian pacuan belakang dengan enjin NA V10 dengan 631hp kuasa maksima.

Buat masa kini teknologi hibrid digabungkan bagi memastikan enjin pembakaran dalaman terus relevan dan mereka turut mengesahkan yang Huracan akan menggunakan tetapan hibrid plug-in bermula tahun hadapan dan kemudian bakal diikuti oleh Urus dan Aventador.

Tapi kalau dah jadi model elektrik sepenuhnya pun bukan satu masalah bagi Lamborghini. Rupa parasnya supercar mereka pun sudah cukup menarik perhatian walaupun sewaktu statik. Bunyi letusan ekzos merupakan satu bonus untuk menarik perhatian peminat dan lawan mereka.

Google ads
Back to top button