Buletin

JUALAN LAMBORGHINI NAIK LAGI, 61% BELI URUS DARI JAN – JUN 2022

Automobili Lamborghini meneruskan trend positif dengan mencatatkan prestasi enam bulan terbaik dari Januari hingga Jun 2022 dari segi jualan, perolehan dan keberuntungan.

Penghantaran kepada pelanggan global meningkat 4.9 peratus kepada 5,090 unit manakala perolehan melonjak 30.6 peratus kepada €1.33 bilion (RM6 bilion) berbanding enam bulan pertama 2021.

Keuntungan kendalian (operating profit) pula meningkat tinggi dari €251 juta (RM1.13 bilion) kepada €425 juta (RM1.92 bilion) atau peningkatan sebanyak 69.6 peratus.

Margin keuntungan kendalian adalah sebanyak 31.9 peratus berbanding 24.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Apa yang menyebabkan prestasi Lamborghini melonjak tinggi?

Peningkatan keberuntungan disumbang oleh penawaran pelbagai produk, program penyesuaian (customization) lebih tinggi dan kadar tukaran matawang yang positif.

Tempahan yang diterima juga sudah memenuhi keseluruhan pengeluaran tahun 2023!

Dari segi pecahan, pembeli tertinggi adalah dari Amerika Syarikat sebanyak 1,521 unit dan diikuti oleh China, Hong Kong dan Macau sebanyak 576 unit dan Jerman sebanyak 468 unit.

United Kingdom menyusul dengan jumlah 440 unit dan Timur Tengah sebanyak 282 unit.

Dari segi pembahagian benua pula, pasaran Amerika mewakili 34 peratus pembeli, 25 peratus dari Asia Pasifik dan 41 peratus Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA).

Model mana paling digemari?

Seperti biasa, SUV Urus dengan pembelian sebanyak 61 peratus! Mengeluarkan SUV adalah keputusan yang tepat dari Lamborghini.

Huracán dan Aventador pula sebanyak 39 peratus dan Aventador sebenarnya sudah pun memasuki fasa penamatan pengeluaran.

Dari segi penawaran produk, Lamborghini memang aktif dan ada sahaja yang disediakan untuk pembeli.

Tahun ini Huracán Tecnica dilancarkan dan bermula Ogos, Lamborghini akan mengumumkan tiga model dengan dua untuk Urus dan satu lagi berkaitan Huracán.

BACA: LAMBORGHINI SIÁN FKP 37 BUAT GUNA LEGO IKUT SAIZ SEBENAR!

BACA: 20 RIBU URUS DALAM 4 TAHUN, PENCAPAIAN BESAR LAMBORGHINI!

BACA:  PADA 1970 LAMBORGHINI URRACO DIPERKENAL, 2+2 TEMPAT DUDUK

Google ads
Back to top button