
VOLVO AKAN GUNA NAMA BAHARU, TIADA LAGI ALPHANUMERIC
Volvo dijangka mengambil langkah penting yang bercanggah dengan sejarahnya sendiri dan trend industri apabila tidak lagi mahu menggunakan nama alphanumeric seperti XC90, C40 dan S60 ke atas model-model keluarannya nanti.
Sebaliknya, Volvo mahu mula menggunakan nama bersifat fonetik. Ketua Pegawai Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson model X90 baharu akan menerima nama yang lebih emosional berbanding nama gabungan huruf dan nombor yang sudah terkenal dan terus digunakan sehingga sekarang.
“Jika anda lihat sekarang, semua nama kereta adalah sama dan berbunyi kejuruteraan. Misalnya XC, T8, All-Wheel-Drive, DOHC dan sebagainya,” kata Samuelsson.
Jadi, Volvo diihat mahu lari daripada trend itu ketika Volkswagen yang kini sedang giat beralih ke kenderaan elektrik sudah mula menukar nama seperti Golf dan Tiguan kepada ID.3 dan ID.4. Mercedes-Benz dan BMW juga tidak ketinggalan apabila menggunakan nama iX dan EQS.

Sejak tahun 1995, Volvo menggunakan huruf XC untuk model SUV, V bagi wagon, C untuk coupe dan S bagi model sedan. Memasuki era baru, pengeluar Sweden itu mahu menggunakan nama baharu.
“Kita bercakap tentang kejuruteraan kenderaan serba baharu dan jentera elektrik generasi terkini dengan perkomputeran bersepadu. Jelaslah bahawa ia merupakan satu permulaan baru. Sebab itulah kami tidak mahu menggunakan nama nombor, huruf dan kedengaran kejuruteraan.
“Kami akan memberi nama seperti anda memberi nama anak yang baru dilahirkan,” kata Samuelsson lagi.
Tampil dengan konsep Recharge, model baharu XC90 akan memiliki reka bentuk radikal yang menghilangkan elemen-elemen tidak perlu. Dibina di atas platform EV sahaja, SUV itu hadir dengan sistem bantuan pemandu termaju, kemas kini over-the-air dan banyak lagi.
Bakal diperkenalkan pada tahun 2022, Samuelsson mengakui nama tersebut belum dimuktamadkan dan perbincangan masih berjalan.