
FANG CHENG BAO BUKA 100 PUSAT JUALAN, AMBIL ALIH DARI JENAMA PREMIUM
Jenama mewah BYD, Fang Cheng Bao (FCB), mengumumkan pada Ogos bahawa jenama berkenaan sedang membina 100 pusat jualan di 60 bandar di China.
Baru-baru ini, gambar pusat jualan FCB yang hampir siap mula muncul di rangkaian sosial China, dan menurut laporan, FCB mengambil alih daripada bilik pameran pembuat kereta premium.
Laporan menyatakan pusat jualan baharu FCB di Boutique Street di Jiaxing adalah bekas milik Mercedes-Benz, sementara sebuah lagi bilik pameran di Jinan, pernah digunakan oleh Aston Martin.

Turut didedahkan adalah pusat jualannya di Shunde, kira-kira sejam dari pusat bandar Guangzhou, adalah bekas kepunyaan jenama Itali, Maserati.
Selain daripada mengambil alih pusat jualan dan servis pembuat kereta lama, FCB juga membina bilik pameran di pusat perkapalan, di mana ia dilihat sebagai satu langkah bergaya dalam kalangan jenama EV baharu di China.
Fang Cheng Bao ialah salah satu daripada tiga jenama premium baharu di bawah BYD. Ia terletak di bawah YangWang dan di atas Denza.

Kereta pertamanya, Bao 5 (Leopard 5), telah diperkenalkan pada bulan Ogos, dijual pada harga bermula AS$41,000 – AS$55,000 (RM191,900 – RM257,427).
Bao 5 mempunyai dimensi 4,890mm (panjang), 1,970mm (lebar), 1,920mm (tinggi) dan jarak roda 2,650mm.
Dari segi kuasa, model tersebut dijana oleh ICE 1.5T, menghamburkan 194hp dipadankan bersama motor elektrik di hadapan serta belakang dan motor elektrik berkenaan masing-masing menghasilkan 200kW dan 285kW.
Menurut BYD, pelancaran rasmi bakal diadakan pada bulan Oktober manakala penghantaran dijangka bermula hujung tahun ini.
- BACA: TAK PERLU GENTAR DENGAN PENGELUAR KERETA DARI CHINA – CEO VOLKSWAGEN
- BACA: JENAMA CHINA TAK DIKENALI DAN SUKAR DIPERCAYAI DI EROPAH
- BACA: PEMBUAT KENDERAAN CHINA, JAC, BAKAL PRODUKSI ‘KLON’ TRAK SEMI TESLA
- BACA: TAK LAKU DI CHINA, RADAR RD6 BAKAL TIBA DI PASARAN THAILAND – HARGA BERMULA SEKITAR RM113K