Buletin

BYD FANGCHENGBAO SF. 680HP, MAHU BERSAING DENGAN MERCEDES G-CLASS

Jenama FangChengBao pertama kali diperkenalkan pada November tahun lalu sebagai jenama ‘professional and personalized’ dengan nama kod F-Brand. FangChengBao membawa maksud ‘Formula Leopard’.

Pada bulan Mac, SUV SF pertama kali dilihat sedang diuji di China dan BYD membuat sendiri ‘gambar mata-mata’ kenderaan ini dan dipilih begitu teliti.

Walau bagaimanapun, sejak Mac, terlalu banyak tangkapan gambar pengintip SF telah bocor dalam talian.

Untuk pengetahuan, SUV SF mempunyai panjang mencapai 5 meter serta berupaya menghasilkan kuasa puncak 680hp dan menawarkan jarak gerak 1,200km, mengikut perkiraan CLTC.

Menerusi lakaran peminat, BYD FangChengBao tampil agresif seperti selayaknya sebuah kenderaan off-road di mana ia dipadankan dengan cermin depan rata, cermin sisi yang agak besar selain mempunyai garis bonet tinggi.

Perincian lain termasuklah memiliki fender begitu lebar, bampar hadapan berbentuk trapez dan dipadankan bersama lampu kabus sementara lampu hadapan pula mempunyai reka bentuk  segi empat tepat.

Dari sisi, kita dapat melihat bahawa SF mendapat rim lima jejari hitam, pemegang pintu biasa dan penderia self-driving system.

Bagi bahagian belakang SUV ini, terdapat roda ganti yang dipasang pada pintu belakang, sepasang lampu belakang menegak dan lampu brek di bawah spoiler kecil.

Di bahagian dalam kabin, gambar intip memaparkan FangChengBao SF dimuatkan skrin infotainmen digital 15.6-inci, stereng berbentuk D, pemegang agak serupa seperti Mercedes-Benz G-Class, manakala terowong tengah dikelilingi butang fizikal untuk mengawal sistem 4WD serta kawalan iklim.

Untuk rekod, barisan model FangChengBao terdiri daripada kenderaan SUV serta trak pikap berkuasa hibrid plug-in dan dijual dalam julat harga AS$57,000 – AS$86,620 (RM264,394 – RM401,786).

Di China, jenama FangChengBao bakal menandingi jenama Jerman seperti Mercedes-Benz, Audi dan BMW.

Google ads
Back to top button