PEMBUAT KENDERAAN CHINA, JAC, BAKAL PRODUKSI ‘KLON’ TRAK SEMI TESLA
Kemunculan trak semi Tesla dilihat berpotensi menguasai industri pengangkutan berat dan ia sekaligus membuatkan pengeluar kenderaan lain mahu bersaing dengan pembuat kenderaan elektrik dari A.S. tersebut.
Pengeluar kenderaan dari China, JAC baru-baru ini membangunkan ‘klon’ trak semi untuk diproduksi di pasaran China, khususnya.
Menerusi gambar tersebar, model prototaip berkenaan adalah hampir sama dengan trak semi Tesla, terutamanya dari segi penampilan, dimensi, cermin depan serta kedudukan lampu.
Secara keseluruhan, prototaip ini bagaimanapun tetap didatangkan dengan beberapa perbezaan, antaranya panel solar di atas cermin, cermin sisi digital, serta kedudukan tempat duduk pemandu diletakkan di bahagian tengah.
Ini bukan kali pertama kita melihat klon trak semi Tesla kerana pada 2019, Neuron EV, pengeluar EV di California mempamerkan dua konsep kenderaan elektrik dengan bahasa reka bentuk seakan Tesla.
Persamaan reka bentuk sering mengundang masalah undang-undang, seperti yang berlaku antara Tesla dan Nikola, di mana Nikola mendakwa bahawa jenama diterajui Elon Musk terlibat dalam pelanggaran paten.
Adakah isu sama bakal dihadapi oleh JAC kelak atau sebaliknya, berupaya diproduksi untuk menggugat penguasaan Tesla?