Buletin

TESLA BAKAL PRODUKSI TESLA MODEL 2, TAWAR HARGA RAHMAH – RM116K SAHAJA

Tesla sekali lagi ‘bermain’ permainan baharu dalam segmen kenderaan elektrik apabila dikatakan melabur sebanyak AS$15 bilion (RM70 bilion) untuk memproduksi model EV termurah, Tesla Model 2.

Model 2 Tesla dijangka diproduksi sebagai hatchback, dengan syarikat itu menawarkan pilihan dan naik taraf bateri serta langganan perkhidmatan, serupa model Tesla yang lain.

EV mampu milik itu berkemungkinan dibina di Monterrey, Mexico, manakala beberapa pengeluaran berpotensi turut berlaku di kilang pembuatannya di Austin, Texas.

Laporan juga mendedahkan bahawa Tesla Model 2 akan dilancarkan seawal tahun 2026 sebelum dipasarkan di China.

Sekiranya dilancarkan kelak, model digelar sebagai Model 2 itu bakal bersaing dengan SUV kompak EV seperti Volkswagen ID.4, Chevrolet Bolt EUV, Hyundai Ioniq 5 serta Ford Mustang Mach-E.

Jangkaan harga, kereta ini boleh dimiliki bermula pada AS$25,000 atau lebih kurang RM116,925. Mengambil kira julat harga tersebut, jika ia tiba di pasaran tempatan, ini menjadikan Tesla Model 2 sangat kompetitif.

Elon Musk sebelum ini pada satu acara berkata bahawa Tesla menyasarkan untuk mengeluarkan 20 juta kenderaan, iaitu dua kali ganda berbanding Toyota.

Namun, beberapa pengeluar kereta seperti Honda dan Hyundai meragui Tesla mahu menjual EV pada harga begitu murah.

“Pada masa ini, EV bernilai AS$25,000 adalah sukar tanpa menjejaskan jarak pemanduan,” kata Hyundai kepada CNBC. – Automachi

Google ads
Back to top button