Artikel Pilihan

KENANGAN BAS MINI WILAYAH – KENDERAAN AWAM TERPANTAS DI GALAKSI BIMA SAKTI

Bas mini mula beroperasi pada 23 September 1975 dan diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (Abang Japar dan Jakpor pun tak lahir lagi masa ni). Pada masa itu ia beroperasi mengikut pelbagai laluan yang ditetapkan dan menggunakan warna bas yang berbeza-beza mengikut laluan. Ada yang berwarna biru-putih, kuning-putih, merah-putih, ungu-putih dan lain-lain lagi.

Bas-bas mini ini bertanggung jawab membawa penumpang ke sekitar Kuala Lumpur dalam jumlah 60 laluan yang ditetapkan. Tiga syarikat utama telah memonopoli laluan-laluan ini manakala syarikat-syarikat lain yang lebih kecil dibenarkan beroperasi di laluan-laluan tertentu sahaja.

Sewaktu mula-mula diperkenalkan tiket yang perlu dibayar hanya bernilai 40 sen sehinggalah ia dinaikkan kepada 50 sen pada tahun 1991. Bayangkan dalam masa 16 tahun naik sekali je tiket, tu pun naik 10 sen je. Generasi Y suku mana rasa benda-benda macam ni. Dua tahun selepas itu ia naik lagi 10 sen (tambah lagi 10 untuk bas mini yang mempunyai penyaman udara) dan kekal sehingga akhir hayatnya pada 1 April 1998.

Kelebihan bas mini ialah ia tidak terikat dengan jadual perjalanan dan bebas bergerak mengikut naluri pemandu. Tapi biasanya mereka akan menunggu sehingga penumpang memenuhi perut bas dahulu. Penuh di sini bukan bermaksud 22 tempat duduk di penuhi penumpang. Tapi istilah penuh bagi bas mini biasanya mencapai 60 orang penumpang untuk bas yang mempunyai 22 tempat duduk.

Pada tahun 1990 semua cat bas mini selaraskan menjadi merah jambu dan ia menjadi antara trade mark Kuala Lumpur yang paling popular. Jangan terpedaya dengan warnanya yang lembut kerana ia merupakan antara kenderaan awam terpantas dan terganas di dunia.

Pada hari-hari biasa keadaan di dalam bas mini memang cukup santai dengan alunan lagu Mas Joko ataupun Kalau Bulan Bisa Ngomong bermain di corong pembesar suara tapi pada waktu puncak, mod pemandu dan bas itu sendiri akan bertukar ke mod kelajuan cahaya untuk memastikan semua penumpang sampai ke destinasi tepat pada masanya.

Malah lampu isyarat dan polis pun bukan keutamaan bagi mereka yang penting penumpang berpuas hati dengan khidmat mereka. Jalan jem? Kacang je, panjat divider. Jalan sempit? Tak ada masalah. Naik cilok? Pergh, kalah mat rempit naik Y suku.

Masa belajar dulu Pok Ya selalu ambil bas mini 12 dan 33 dari Jalan Bangsar untuk menghadiri tuisyen permainan video di Pertama Kompleks. Paling cepat 15 dah sampai dan paling teruk pun 30 minit. Itu pun siap masuk ikut Bangkok Bank lagi. Eh korang kenal ke Bangkok Bank?

Kapasiti muatan bukan halangan untuk mereka memuatkan penumpang seramai mungkin. Penumpang akan disumbat masuk sehinggalah penggera semulajadi berbunyi. Biasanya ia berbunyi “Wei mana boleh masuk lagi b***h, kaki aku dah tersepit ni!”.

Menarik bukan? Memang meriah habis dan penuh interaksi sesama warga kota. Memang berbeza dengan kenderaan awam sekarang yang dipenuhi dengan zombi lelaki dan perempuan yang tersengih mengadap skrin telefon masing-masing.

Selepas ia dihentikan perkhidmatan pada tahun 1998, kerajaan telah menggantikannya dengan bas awam yang lebih moden dan menggunakan transmisi automatik. Memang berbeza betul perasaannya dan perbezaan yang paling nyata ialah ia memang perlahan dan akan melambatkan anda. Tak berbaloi langsung dengan tambang 90 sen satu perjalanan.

Memori bas mini memang cukup menarik. Bukan sekali dua Pok Ya saksikan bas mini terbalik di jalan Tun Sambathan akibat terlebih cilok di selekoh.

Satu lagi kelebihan ialah kecekapan konduktor dalam mengutip bayaran tiket. Bagilah duit RM100 pun sekalipun mereka tetapi mempunyai baki yang mencukupi untuk anda. Tak cekap ke tu?

Anda mungkin ada pengalaman anda sendiri dengan bas mini. Kongsikan sahaja di ruangan komen di FB Mekanika.  

Google ads
Back to top button