
BENELLI IMPERIALE 400. RM15,888 SEUNIT. SUDAH MULA DIEDAR KE SELURUH NEGARA
Benelli Imperiale 400 yang telah dilancarkan semasa Kejohanan MotoGP 2019 di Sepang akan diedarkan ke semua kedai wakil penjual sah Benelli mulai minggu ini.
Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad berkata model itu menerima sambutan cukup memberangsangkan daripada para penggemar motosikal klasik. Sebanyak 100 unit Benelli Imperiale 400 telah pun habis ditempah oleh pelanggan sejak Januari 2020.
MForce Bike Holdings ingin memohon maaf kepada pelanggan yang telah membuat tempahan dan terpaksa menunggu lama untuk menerima motosikal.
Ia berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Asri menjangkakan model tersebut habis terjual sebelum hujung tahun. Sekali gus berjaya mencapai sasaran jualan tahunan syarikat sebanyak 300 unit pada tahun ini berdasarkan jumlah tempahan baru yang diterima.
Benelli Imperiale 400 ialah model yang diilhamkan semula daripada model klasik Benelli-MotoBi yang dikeluarkan di Itali sekitar tahun 1950-an.
Jentera itu menggunakan enjin satu silinder dengan sistem pancitan bahan api dan sistem penyejukan udara yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan.
Imperiale 400 ditawarkan dengan tiga pilihan warna, iaitu hitam, merah dan kelabu. Ia dijual pada harga RM15,888.

Ia hadir bersama jaminan selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu). Pengguna disaran untuk
menggunakan minyak enjin PJ1 yang merupakan produk rasmi untuk semua motosikal Benelli ketika melakukan servis.
Selain mengedar, MForce Bike Holdings turut memasang dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian (012-4122 933) bagi rangkaian produk Benelli di Malaysia.