Buletin

KERETA FERRARI F2001 SCHUMACHER INI MUNGKIN MENJADI MILIK ANDA

Bukan selalu kereta F1 sebenar muncul di upacara lelongan awam apatah lagi jika ia kereta unit yang pernah menjadi juara dunia. Tapi kali ini ia bukan sesuatu yang mustahil kerana Ferrari F2001 yang pernah dipandu oleh Michael Schumacher ini memang dibuka untuk jualan.

Ia merupakan kereta sebenar yang digunakan Michael sewaktu merangkul kejuaraan dunia keempat beliau. Ia juga merupakan kemenangan kesebelas untuk pasukan Scuderia Ferrari. Pendek kata bukan selalu kita dapat beli kereta lejen macam ni.

Kereta F2001 ini merupakan kereta paling dominan dalam sejarah F1. Ia sentiasa menamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium. Ia juga telah membuat catatan masa terpantas dalam banyak perlumbaan yang disertainya. Malah rekod yang dicatatkan di Zandvoort kekal selama hampir 16 tahun sehinggalah ia berjaya diatasi beberapa bulan lepas.

Schumacher memenangi sembilan daripada 17 pusingan perlumbaan dalam perlumbaan F1 tahun 2001 dengan menggunakan kereta ini selepas bersaing hebat dengan musuh ketat beliau, David Coulthard dari pasukan McLaren. Dua perlumbaan pada tahun tersebut (Monaco dan Hungary) dimenangi dengan menggunakan kereta ini (nombor casis 211).

Tambah menarik lagi kereta ini memang boleh berfungsi sepenuhnya. Enjin V10 3.0-liternya boleh memecahkan gegendang telinga jiran anda sebaik enjinnya dipacu sehingga 18,500 rpm maksima. Kuasa maksima yang mampu dihasilkan enjin ini ialah 900 hp lengkap dengan kawalan sistem cengkaman dan launch-control.

Ia juga layak digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan kereta klasik di serata dunia (yang semestinya boleh dimenanginya) selain menyertai program Corse Clienti Ferrari sendiri.

BACA: JENTERA F1 LEWIS HAMILTON UNTUK DIJUAL

Sotheby yang bertanggungjawab dalam lelongan ini menganggarkan yang kereta ini boleh dijual dalam linkungan harga USD4 juta dan akan mencatat rekod sebagai kereta F1 termahal pernah dijual. Malah menurut Sotheby kereta ini juga dianggap sebagai sebuah hasil seni moden dan bakal menyertai Sotheby’s Contemporary Art Evening Auction pada 16 November ini.

GALERI:

Google ads
Back to top button