Buletin

FERRARI UMUM TAYAR BAHARU UNTUK ENZO FERRARI – LEBIH 2 DEKAD KEKAL DIBERI PERHATIAN

Sudah menjadi kebiasaan untuk sesebuah kereta eksotik mempunyai tayar buatan khas walaupun dikeluarkan dalam jumlah kecil .

Harga? Bukan masalah untuk pemilik. Pada 8 Mei, program pengujian tayar baharu Pirelli P Zero Corsa System yang dibangunkan khusus untuk Enzo Ferrari selesai dijalankan di litar Fiorano.

Tayar itu mempunyai saiz seperti asal namun menggunakan bahan, campuran permukaan (compound) dan teknologi yang setara dengan tayar moden.

Tayar P Zero Corsa System dibuat dalam saiz 245/35 R19 untuk kegunaan depan dan 345/35 R19 untuk belakang.

Bunga tayar dibuat dalam corak dua arah berbeza dan tak simetri untuk bertindak balas kepada akuasatah (aquaplaning).

Selain Enzo Ferrari, syarikat juga memberi kelulusan rasmi penggunaan tayar P Zero dan P Zero Corsa System yang sudah berada di pasaran sebagai produk pascapacaran untuk F40 dan F50.

Semasa dilancar pada 1987, F40 merupakan kereta prestasi tinggi pertama dilengkapi tayar Pirelli P Zero baharu dan penawaran ini adalah versi terbaru.

Tayar tersebut juga dibuat seperti saiz asal 245/40 R17 (depan) dan 335/35 R17 (belakang) dan telah diubah supaya menyamai seni huruf asal pada dinding tayar.

Tayar P Zero Corsa System siri Collezione F50 dengan saiz 245/35 R18 (depan) dan 335/30 R18 (belakang) turut diuji di Fiorani supaya setara dengan tingkah laku pengendalian dan rasa tayar asal.

Kekal diberi perhatian, tayar untuk GTO 1984 sedang dalam pembangunan dan dibuat dalam saiz asal 225/50 R16 (depan) dan 265/50 R16 (belakang) dengan estetika pada eranya selain bahan dan teknologi binaan moden.

Sejarah ringkas model ikonik Ferrari

Ferrari GTO

  • Diperkenal pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva 1984
  • Model Ferrari pertama menggunakan enjin V8 turbo berkembar dalam kedudukan memanjang
  • Enjin 2.8 liter dengan lapan silinder melahirkan nama timangan tidak rasmi 288
  • Pada peringkat awal, Ferrari hanya mahu mengeluarkan 200 buah sebagai syarat homologasi untuk perlumbaan Group B
  • Ferrari keluar dari kejohanan susulan perubahan peraturan perlumbaan
  • 272 buah sahaja

Ferrari F40

  • Diperkenal pada Julai 1987 bagi meraikan ulang tahun ke-40 Ferrari (permulaan siri kereta jalanan)
  • Pengganti atau penyambung GTO
  • Enjin 2.9 liter, nisbah mampatan lebih tinggi dan tekanan galak yang dinaikkan menghasilkan 478 hp
  • Penggunaan bahan komposit untuk berat yang rendah
  • F40 LM dan F40 GT-E untuk perlumbaan
  • Model Ferrari terakhir yang menerima kelulusan terus dari Enzo Ferrari
  • 1311 buah dikeluarkan

Ferrari F50

  • Diperkenal pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva 1995 dan meraikan ulang tahun ke-50 Ferrari (permulaan penggunaan nama Ferrari)
  • Kereta super Ferrari pertama menggunakan enjin naturally-aspirated V12 yang diambil terus dari Formula 1 dan dalam bentangan tengah dan memanjang
  • Casis monokok dari bahan komposit
  • Bumbung boleh buka
  • Tanpa Sistem Brek Antikelincir (ABS) dan bantuan kuasa stereng
  • 349 buah dikeluarkan

Enzo Ferrari

  • Dikeluarkan dari 2002 sehingga 2002
  • Kereta super Ferrari keempat
  • Meneruskan konsep pemindahan teknologi dari Formula 1
  • Menggunakan terowong angin secara mendalam
  • Muncung depan ala kereta F1
  • Tanpa spoiler besar seperti F40 dan F50 dan digantikan spoiler kecil boleh laras berfungsi pada kelajuan melebihi 80 km/j
  • Angin dialirkan melalui bahagian bawah dan disisi kereta selain untuk penyejukan enjin
  • Enjin 6.0 liter V12 menghasilkan 660 hp pada 7,800 rpm
  • Kotak gear AMT
  • 399 buah dikeluarkan

Google ads
Back to top button