Buletin

FORD 1.0L ECOBOOST MENANG LAGI

Enjin 1.0 liter EcoBoost binaan Ford Motor Company baru-baru ini dinamakan sebagai Enjin Terbaik Antarabangsa 2014 (2014 International Engine of the Year). 

Ford-EcoBoost-engine-mekanika (10)

Pengiktirafan itu diberi berikutan pemanduan, prestasi, penjimatan, kehalusan dan teknologinya yang mengagumkan. Panel yang terdiri daripada 82 orang wartawan pemotoran dari 35 buah negara turut menamakan enjin 1.0 liter EcoBoost sebagai “Enjin Terbaik bawah 1.0 Liter” untuk tiga tahun berturut-turut pada Ekspo Enjin 2014 yang berlangsung di Stuttgart, Jerman.

Enjin itu kini sudah memenangi 13 anugerah utama. Antaranya ialah anugerah International Engine of the Year yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, anugerah Enjin Baharu Terbaik 2012, Trofi Dewar daripada Kelab Automobil Diraja di Great Britain dan Amerika Syarikat, Anugerah Antarabangsa Paul Pietsch 2013, Anugerah Kecemerlangan daripada majalah Popular Mechanics serta memenangi trofi Ward’s 10 Best Engines untuk enjin tiga silinder.

Ford-EcoBoost-engine-mekanika (5)

“Persaingan pada tahun ini amat sengit. Tetapi enjin 1.0 liter EcoBoost tetap menyerlah. Enjin 1.0 liter EcoBoost adalah contoh terbaik mengenai kejuruteraan rangkaian kuasa,”  kata Pengerusi Bersama Anugerah International Engine of the Year kali ke-16 yang juga editor majalah Engine Technology International, Dean Slavnich.

Kenderaan Ford yang dilengkapi oleh enjin 1.0 liter EcoBoost kini boleh didapati di 72 buah negara di seluruh dunia. Kemudahan-kemudahan Ford di Eropah seperti di Cologne, Jerman dan Craiova, Romania menghasilkan sebuah enjin EcoBoost baharu pada setiap 42 saat. Baru-baru ini ia mencatat keluaran yang ke-500,000 unit.

Employees at Bridgend Engine Plant, UK

Baru-baru ini, Ford memulakan produksi enjin 1.0 liter EcoBoost di Chongqing, China bagi menyokong permintaan di Asia Pasifik. Pada sukur pertama tahun 2014, lebih satu pertiga pembeli Fiesta baharu di Vietnam memilih enjin 1.0 liter EcoBoost.

Lebih daripada 200 orang jurutera serta pereka bentuk daripada pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan Ford di Aachen dan Merkenich, Jerman serta Dagenham dan Dunton, U.K. telah menghabiskan masa selama lebih lima juta jam untuk membangunkan enjin 1.0 liter EcoBoost.

Ford-EcoBoost-engine-mekanika (2)

Teknologi-teknologi inovatif yang membuatkan enjin 1.0 liter EcoBoost begitu berjaya di peringkat antarabangsa termasuklah:

  • Satu unit pengecas turbo yang kompak dan rendah inertia: Ia mampu berputar sehingga 248,000 rpm – lebih 4,000 kali sesaat dan hampir dua kali ganda rpm maksimum berbanding sistem pengecas turbo yang digunakan pada enjin jentera lumba F1. 
  • Sistem penyejukan terpisah: Method yang ultra efisien ini berfungsi mengurus suhu enjin dan membolehkan cecair penyejuk enjijn melalui dua laluan – satu laluan ke blok silinder dan satu lagi ke kepala silinder. Enjin juga boleh panas dengan lebih pantas, lebih menjimatkan minyak dan mengurangkan emisi. 
  • Pam minyak boleh ubah: Aspek pelinciran minyak dibuat berdasarkan kepada kelajuan dan beban enjin. Ia menjimatkan tenaga dengan menghantar jumlah minyak yang hanya diperlukan oleh enjin. Tidak seperti enjin biasa yang menghantar minyak pada kadar yang telah ditetapkan. Tenaga yang kurang dibazirkan memberi lebih penjimatan bahan api. 
  • Keseimbangan aci engkol (crankshaft): Omboh-omboh diposisikan di antara silinder untuk kecekapan yang optimum dan mengurangkan geseran enjin. Pemandu akan merasai maklum balas yang lebih baik dan rev pantas untuk lebih kuasa. 
  • Tali sawat pemasaan yang dicelup ke dalam minyak: Ia mengurangkan geseran dan bunyi bising berbanding tali sawat yang kering. Tali sawat ini dimasukkan sepenuhnya ke dalam enjin yang boleh mengurangkan bunyi bising. Justeru, ia menawarkan enjin yang lebih senyap dan tali sawat tidak perlu ditukar, sekali gus mengurangkan kos pemilikan. 
  • Manifold ekzos bersepadu: Selain blok enjin besi tuang ini cukup kecil untuk diletakkan di ruang penyimpanan barang di dalam pesawat, enjin ini juga tampil dengan ciri manifold ekzos bersepadu yang dituang sekali ke dalam kepala silinder dan bukannya dipasang secara berasingan seperti kebanyakan enjin lain. Ciri ini mengurangkan berat hampir satu kilogram. Ia berperanan mengoptimumkan campuran bahan api udara dan membantu enjin untuk panas dengan lebih pantas. Semua ini meningkatkan penjimatan bahan api dan dan menjadikan enjin lebih responsif. 
  • Sistem cagak enjin yang dioptimumkan: Komponen-komponen besi dan getah yang menyambungkan enjin dengan badan kereta telah menjadi hak cipta dan dipatenkan. Ia menebat kerangka kenderaan daripada kuasa getaran enjin, sekali gus menawarkan kelancaran tiada tandingan pada semua kelajuan.

Ford-EcoBoost-engine-mekanika (8)

Untuk pasaran Malaysia, enjin 1.0 liter EcoBoost sudah ditawarkan pada varian Ford Fiesta. Memang power dan menjimatkan minyak.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button