Motosikal

HONDA CBR 250R – BERMULA RM19,999

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) sekali lagi memeriahkan pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan apabila memperkenalkan tiga buah jentera sekali gus baru-baru ini. 

Honda-CBR250R-mekanika (12)

Jentera yang dimaksudkan ialah CBR250R, CB650F dan CBR650F serba baru. Ia pastinya menjadi berita baik untuk mereka yang baru hendak menaik taraf motosikal masing-masing kepada model ‘entry’ dan ‘mid-range’.

Tetapi, apa kata kalau kita fokus kepada model CBR250R dahulu? Baki dua lagi model akan dipaparkan di laman web ini tidak lama lagi.

Honda-CBR250R-mekanika (13)

Baiklah. CBR250R dilihat sebagai model ideal untuk penunggang yang ingin melangkah masuk ke dalam segmen motosikal berkuasa tinggi. Ia merupakan sebuah model sports sebenar yang menawarkan beberapa persamaan dengan mesin bersesaran enjin lebih besar.

Model ini membenarkan penunggangnya mengakses, menggunakan dan menikmati  setiap prestasi yang ditawarkannya. Justeru, CBR250R boleh disifatkan sebagai platform terbaik untuk sesiapa sahaja mengasah kemahiran menunggang. Saiz CBR250R yang kecil juga membantu menjadikannya sebuah motosikal yang ringan dan mudah untuk dikendalikan.

Honda-CBR250R-mekanika (5)

Jentera yang dinaik taraf daripada model terdahulu ini dikuasakan oleh unit enjin  DOHC empat injap yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 20.2kW @ 8,500rpm dan tork puncak 23.3Nm @ 7,500rpm. Mahu tampil lebih menyerlah, CBR250R didatangkan dengan rekaan ekzos yang baru.

Seperti yang diketahui, enjin satu silinder CBR250R menawarkan banyak manfaat. Kebanyakan komponennya direka agar lebih ringkas, padat dan minimum. Ia turut menawarkan proses pembakaran bahan api yang lebih cekap.

Honda-CBR250R-mekanika (10)

Sementara aspek-aspek kecil seperti gelang omboh geseran rendah dan palam pencucuh Iridium banyak pula membantu dalam mengurangkan kos penyelenggaraan.

Berbanding enjin berbilang silinder, enjin ini membolehkannya  diletakkan dengan sempurna pada chasis untuk pengagihan berat depan dan belakang yang seimbang.

Honda-CBR250R-mekanika (4)

Untuk model 2014, CBR250R hadir dengan sistem brek ABS dua saluran. Brek  ringan itu terdiri daripada kombinasi cakera depan berukuran 296mm dengan angkup  dua omboh untuk roda hadapan.

Manakala roda belakang pula menggunakan brek cakera bersaiz 220mm dengan omboh tunggal. Gabungan brek itu pastinya menawarkan kuasa membrek yang mantap dan meyakinkan.

Honda-CBR250R-mekanika (11)

Sekiranya berminat, CBR250 ditawarkan pada harga seperti berikut:

  • Warna Standard Trico & hitam: RM19,999
  • Warna Repsol: RM20,499
  • C-ABS dengan warna  Trico & Hitam: RM22,999
  • C-ABS dengan warna Repsol: RM23, 499

Honda-CBR250R-mekanika (6)

Semua harga ini tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Semua pembelian disertakan dengan jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000 km (mana-mana tiba dahulu).

Menurut Boon Siew Honda, jika menempahnya sekarang, anda mungkin sempat melaram pada Hari Raya Aidilfitri nanti. Fuh!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button