
FORD BRONCO DR, ENJIN 5.OL V8 MACAM MUSTANG GT!
Satu model SUV yang perlu dipasarkan dengan lebih meluas ialah Ford Bronco. Bukan apa, SUV ikonik kelahiran semula itu tertumpu di negara asalnya, Amerika Syarikat.
Dengan reka bentuk rugged dan lasak, Bronco dilihat mempunyai potensi untuk diterima dengan baik jika dijual secara meluas.
Terbaru Ford Amerika Syarikat memperkenalkan Bronco DR dan ianya tidak boleh digunakan di atas jalan raya awam.
Kenapa? Model edisi terhad ini dibina khas untuk perlumbaan padang pasir Baja 1000 atau setara dengannya.
Bronco DR atau Desert Racer diubah suai daripada model empat pintu Bronco dan menggunakan enjin Coyote 5.0 liter V8. Enjin sama juga digunakan pada Ford Mustang GT.
Kuasa yang disasarkan lebih daripada 400 hp dengan pelbagai kelengkapan seperti penyerap hentak dan rangka keselamatan dari Multimatic.
Bronco mempunyai sejarah hebat dalam perlumbaan dengan generasi pertama menang dalam kategori Baja 1000 pada 1967, 1969, 1971 dan 1972.
Bronco turut menang juara keseluruhan Baja 500 pada tahun 1970 dan 1973.
Model generasi seterusnya (1978 hingga 1995) menang Baja 500 (Kelas 3) dari tahun 2004 hingga 2015 dan 15 Baja 1000 (Kelas 3) di antara tahun 2002 dan 2019.
Terbaru Bronco Sport dipacu untuk memenangi kelas dalam Rebelle Rally X-Cross 2020.
Ford membangunkan Bronco DR untuk dijual kepada pasukan dan pelumba yang mahu bersaing di dalam perlumbaan off-road.
Rangkaian kuasa
Enjin 5.0 liter V8 dipadan bersama transmisi sepuluh kelajuan automatik 10R80 dan kotak pindah (transfer case) jenis on the fly pikap F-150.
Daya kilas dihantar melalui pembeza (differential) elektronik kuncian bebas depan dan belakang dengan nisbah pacuan akhir 4.70:1.
Saluran udara besar dipasang pada bahagian atas Bronco DR dan satu lagi di bumbung untuk memberikan tambahan sejukan pada radiator yang terletak di belakang.
Tangki dengan kapasiti 246 liter pula berada di bahagian bawah kargo.
Panel badan gentian kaca
Bronco DR menggunakan panel badan gentian kaca resin transfer molded (RTM) dan mengekalkan rangka dan struktur badan asal Bronco.
Sebagai model lumba, sistem penyaman udara, cermin dan beberapa kelengkapan lain ditanggalkan. Komponen asal seperti lampu depan dan belakang dikekalkan
Komponen seperti gril, lampu depan dan belakang dikekalkan dengan gril single piece.
Menyerlahkan lagi bahagian luar ialah warna perlumbaan mewah, putih, hitam dan biru.
Untuk perlindungan pelumba, Bronco DR menggunakan rangka keselamatan penuh (safety cage) dari Multimatic dengan tiub OE ACCRA®.
Sepasang kerusi lumba dimuatkan dan bacaan prestasi ditayangkan pada skrin Motec C187.
Set suspensi dari Multimatic
Multimatic yang berasal dari Kanada dan Ford Performance sudah lama menjalinkan kerjasama.
Untuk projek ini, Bronco DR menggunakan set suspensi canggih Positional Selective DSSV dan lengan kawalan (control arm) yang diperbuat dari aluminium juga dari Multimatic.
Berbanding varian Bronco Badlands™, model lumba ini diubah suai bagi mendapatkan tambahan jarak (travel) sebanyak 55.1 peratus di depan pada ketinggian 15.8 inci dan tambahan 58.6 peratus di belakang pada ketinggian 17.4 inci.
Selain itu, Bronco DR mempunyai sudut sua (approach angle) 47 darjah, sudut lepas (departure angle) 37 darjah dan sudut breakover 33 darjah bagi melepasi pelbagai cabaran muka bumi semasa berlumba.
Trek depan pula berukuran 73.7 inci dan 73.3 inci pada bahagian belakang.
Tayar dan brek
Bronco DR menggunakan tayar BFGoodrich® Mud-Terrain T/A® KM3 semua musim saiz 37×12.5R17 dengan roda jenis beadlock.
Tayar BFGoodrich itu mempunyai kompaun Krawl-TEK untuk lebih cengkaman pada permukaan batu dan licin.
Satu perkara menarik ialah Bronco DR menggunakan brek cakera dari Bronco standard dengan pad yang dipertingkatkan.
50 buah dahulu dan berapa harga?
Sebanyak 50 buah Ford Bronco DR pertama akan ditawarkan untuk jualan pada penghujung tahun 2022 dengan julat harga pertengahan USD250,000 (RM1,037,750).
Tinggi tak harganya? Memang begitu dan kenderaan lumba tidak murah harganya.
BACA: FORD F-100 ELUMINATOR, PIKAP KLASIK KUASA ELEKTRIK!
BACA: FORD FOCUS ST 2022, 2.3L ECOBOOST 6 KELAJUAN MANUAL!
BACA: FORD GT CARBON – APABILA KERETA LAJU JADI LEBIH RINGAN (DAN CANTIK)