" "
Artikel Pilihan

HALAJU 30KM/J DI SEKITAR SEKOLAH DAN TAMAN PERUMAHAN NAMPAK MENGARUT? ADA SEBABNYA

Anda nak cepat pagi tadi, tapi terpandang pada papantanda peringatan halaju 30km/j di sekitar kawasan sekolah menyebabkan anda memperlahankan kenderaan anda. Ish macam tak logik saja halaju 30km/j ni kan. Naik Viva 660cc pun senang-senang dapat 90km/j

Jadi anda pun ikut sajalah halaju tersebut dengan sabar. Tahniah diucapkan kerana tidak menjadi pemandu bongok!. Maaf penulis terpaksa cakap kerana masih ada pemandu yang mementingkan diri memandu laju bukan sahaja di sekitar kawasan sekolah, malah di taman perumahan yang padat dengan anak-anak kecil.

Ya kami tahu anda laju dan boleh memandu laju di jalan lurus, tapi sila patuhi halaju 30km/j di sekitar kawasan perumahan dan juga sekolah. Kalau anda perasan kedua-dua kawasan ini digunakan oleh kanak-kanak dan murid-murid yang berumur antara 5-12 tahun. Disebabkan mereka masih kecil, mereka ada kelemahan iaitu:

1. Akal mereka pendek – mereka tidak akan melihat ke kiri dan kanan untuk melintas jalanraya. Mereka akan lintas sahaja tanpa berfikir panjang kerana ketika ini otak mereka tidak berupaya memikirkan kesan baik buruk dari tindakan mereka.

2. Kanak-kanak tiada kemahiran menganggar – mereka tidak dapat menganggar jarak dan halaju kereta yang bergerak. Pada anggapan mereka, jarak kereta yang melalui kawasan perumahan dan sekolah masih jauh. Kereta pula dipandu dengan perlahan. Jadi mereka akan melintas sesuka hati mereka

Jadi atas 2 sebab inilah kanak-kanak adalah pengguna jalanraya yang paling berisiko tinggi apabila kemalangan terjadi. Malah pada halaju 48km/j, ia terlalu laju untuk ditafsirkan oleh otak dan mata kanak-kanak. Para pengkaji telah mendapati halaju 30km/j adalah halaju yang paling selamat apabila melalui kawasan perumahan dan juga sekolah

Jika kanak-kanak dilanggar pada halaju 30km/j, pemandu akan sempat membrek dan halaju mungkin akan berkurang kepada 25km/j sahaja ketika impak kemalangan berlaku. Kanak-kanak tadi mungkin akan mengalami kecederaan yang ringan sahaja.

Pada halaju 40km/j, impak kemalangan akan menyebabkan kecederaan serius dengan 50% kebarangkalian boleh menyebabkan kematian akibat kecederaan. Pada halaju 64km/j, jika kemalangan yang berlaku pada pejalan kaki, 90% data menunjukkan pejalan kaki boleh maut di tempat kejadian. Bayangkan jika kanak-kanak tersebut ialah anak kita.

Bayangkan jika anda yang melanggar kanak-kanak tadi di sekitar kawasan sekolah yang masih memakai seragam sekolah dan maut di tempat kejadian. Kemungkinan besar anda akan didakwa di mahkamah dan lesen akan digantung.

Jadi sebelum apa-apa kejadian buruk berlaku, amalkan memandu dengan perlahan di sekitar kawasan sekolah dan juga taman perumahan. Hargai nyawa anak-anak kita. Tak hebat mana pun pandu laju di sekitar kawasan perumahan dan sekolah. Nak laju masuk litar, bukan kawasan perumahan dan sekolah.

Ini adalah salah satu sebab mengapa sistem brek pra-perlanggaran dan amaran brek pra perlanggaran diperkenalkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan di negara maju. Tapi kalau kita sendiri tidak menghormati penjalan kaki, kanak-kanak dan halaju yang telah ditetapkan, tak guna juga. Tanggung jawab pemanduan berhemah terletak pada sikap anda, bukan pada sistem kenderaan.

Google ads
Back to top button