Buletin

FORD BRONCO MUNGKIN MENDARAT DI EROPAH TAHUN DEPAN

Ford nampaknya bakal menawarkan model SUV off-road Ford Bronco untuk pasaran Eropah yang terpilih bermula tahun depan.

Menurut laporan Automotive News, model off-road itu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu nadi EcoBoost 2.3 liter (300 hp) atau enjin V6 2.7 liter (330 hp).

Tiada sebarang penawaran enjin diesel untuk pasaran tersebut, memandangkan undang-undang emisi yang ketat di rantau tersebut.

Tambah laporan itu lagi, Ford Bronco akan bertindak sebagai model halo, dengan harga jualan bermula dari €60,000 (RM280,309) di pasaran Jerman.

Dengan kehadiran Ford Bronco, ia bakal memberikan saingan kepada model seperti Jeep Wrangler, Land Rover Defender serta tidak ketinggalan ‘kembar’ Defender, Ineos Grenadier yang menggunakan nadi BMW.

Ford kini sedang melakukan penstrukturan semula perniagaan di Eropah, di mana pengeluar itu kini menamatkan penjualan model-model seperti Mondeo dan bakal disusuli oleh Fiesta, S-Max dan Galaxy.

Ini kerana Ford berjanji untuk menjadi sebuah jenama yang lebih Amerika di pasaran Eropah, dan memberikan petanda lebih banyak model spesifikasi US bakal tiba di sana pada tahun depan. – Automotive News

Google ads
Back to top button