
FORD DIDENDA RM160K DI AUSTRALIA SEBAB SALAH CETAK INFO PADA BROSUR MUSTANG MACH 1
Hanya dengan satu kesilapan maklumat yang didapati pada brosur produk Ford Mustang Mach 1, dan ia mengakibatkan Ford terpaksa menghabiskan sejumlah wang bernilai AU$4.5 juta (RM13.62 juta) sebagai pampasan kepada pembeli kereta sports tersebut.
Bukan itu sahaja, Ford juga turut didenda sebanyak AU$53,000 (RM160k) oleh Australian Competition & Consumer Commission (ACCC) kerana mengelirukan pelanggan.

Menurut ACCC, brosur Ford Mustang Mach 1 itu didapati menyenaraikan kelengkapan yang tidak dipasang seperti penderia parkir belakang, lampu kabus LED, alas lantai, sistem pencahayaan ambien pada poket pintu serta LSD Torsen, malah ada sesetengah brosur mendakwa Mach 1 turut dilengkapi dengan kawalan jelajah adaptif.
Pengerusi ACCC, Rod Sims menjelaskan, “karakteristik prestasi Ford Mustang Mach 1 merupakan kunci utama jualan, jadi ciri-ciri yang disebutkan itu mungkin berjaya mengelirukan pelanggan untuk membeli kereta tersebut.
Sebagai pampasan, pembeli Ford Mustang Mach 1 diberikan dua pilihan, sama ada memulangkan kereta dan mendapat bayaran balik sepenuhnya.
Mereka yang mahu mengekalkan pembelian akan menerima pampasan bernilai $5,400 yang merangkumi servis berjadual selama tiga tahun secara percuma, pengalaman hari litar, yuran kemasukan percuma untuk acara yang bakal dianjurkan serta taxi ride di dalam salah satu jentera lumba Ford.

Bagi pelanggan yang telah membeli Mustang Mach 1 selepas tarikh 16 Ogos 2021, mereka tidak boleh memulangkan semula kenderaan dan mendapat bayaran balik penuh, sebaliknya ditawarkan pampasan bernilai $5,400 untuk manfaat yang disebutkan tadi.
Sumber: Drive